Wednesday, 25 May 2016

Video Pembentangan

Klik di sini

Slaid Pembentangan Novel Salina

Klik di sini

Pandangan Hidup dalam Novel Salina

Kamus Dewan Edisi Keempat (2010) mendefinisikan istilah ‘pandangan’ kepada beberapa maksud iaitu hasil perbuatan memandang, apa-apa yang terlihat (tergambar) di mata hasil daripada perbuatan memandang, apa-apa yang menjadi perhatian dan juga bermaksud anggapan. Istilah ‘hidup’ pula mempunyai terlalu banyak maksud, namun dalam konteks ini, istilah ‘hidup’ sesuai didefinisikan sebagai keadaan yang sebenarnya atau dilihat (lukisan, cerita dan lain-lain). Apabila dua istilah ini disatukan menjadi pandangan hidup, maka dapatlah difahami bahawa ‘pandangan hidup’ merujuk kepada ‘anggapan terhadap keadaan yang sebenarnya atau dilihat’. 
Menurut Mohd Rashid Md. Idris, Abdul Rahman Napiah dan Seri Lanang Jaya (2014), konsep pandangan hidup secara umumnya mengenai pandangan hidup alam semesta secara keseluruhan terutamanya dilihat melalui satu sudut pandangan yang dipengaruhi oleh satu sistem nilai yang tertentu. Selain itu, mereka turut berpendapat bahawa pandangan hidup merupakan suatu konsep yang dimiliki oleh masyarakat atau komuniti tertentu, bertujuan untuk menanggapi dan menerangkan segala permasalahan yang berkaitan dengan Tuhan, manusia dan alam. Setiap masyarakat, khususnya orang Melayu mempunyai pandangan hidup yang lazimnya melibatkan hubungan manusia dengan Tuhan, alam dan hubungan sesama manusia serta terperinci kepada tiga bahagian iaitu bahagian keluarga, pemimpin dan masyarakat.


                        4.6.1    Amalan Pantang Larang
Masyarakat pada zaman novel Salina masih mempercayai dan mengamalkan pantang larang dalam hidup mereka. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2010), pantang larang merupakan sesuatu perkara yang dilarang untuk melakukannya berikutan adat dan kepercayaan sesebuah masyarakat. Pantang larang ini sudah diamalkan sejak turun-temurun sehingga kini. Kabanyakkan pantang larang tersebut diamalkan bagi memelihara tingkah laku anggota masyarakatnya. Berdasarkan novel Salina terdapat pantang larang yang diamaalkan oleh masyarakat Melayu yang ditonjolkan oleh penulis seperti berikut:
“Tak baik menyabung kaki tahu?” kata ibunya menegurnya sambil terbatuk-batuk kecil. Hilmi mendongak, tersenyum alalu bertanya, “Mak percaya?”
“Pasal apa pula tak percaya? Orang-orang dulu cakap,” jawab ibunya dengan tidak memandang Hilmy. Hilmy tersenyum lagi, dan berkata, “Jadi kalau Hilmy menyabung kaki, emak Hilmy akan matilah, ya?”
“Mmmmmmm,mmm,” kata Katijah sambil mengangguk-anggukkan kepalanya.
“Kalau Hilmy tidak menyabung kaki maka tak matilah?” tanya Hilmy; dari air mukanya yang nyata benar dinantinya jawapan ibunya.
Katijah diam sahaja. Memang selalu anaknya bertanya begitu, dan bila pertanyaan serupa itu dikemukakan kepadanya, dia sentiasa menjawab sebaik-baiknya.”
(Salina, 1961:190)
       
Berdasarkan contoh petikan di atas, masayarakat Melayu pada zaman itu masih mengamalkan pantang larang menyabung kaki. Hakikatnya, perbuataan sebegitu dianggap kurang sopan khususnya kepada anak gadis. Hal ini demikian kerana, pada zaman itu, anak gadis memakai kain batik atau sarung yang akan menyebabkan kainnya terselak apabila anak gadis menyabung kaki. Oleh sebab itu, perbuataan ini dianggap sebagai larangan mahupun kepada lelaki kerana lelaki tersebut akan berkeluarga nanti. Oleh itu, pantang larang ini diamalkan sejak turun-temurun bagi memelihara tingkah laku manusia supaya sentiasa menjaga adab sopan walaupun di rumah.


                        4.6.2    Amalan Kepercayaan Karut
Kepercayaan karut turut diamalkan oleh masayarakat Melayu dalam novel Salina. Kepercayaan karut ini juga turut diamalkan sejak turun-temurun sehingga kini. Kepercayaan ini diamalkan berdasarkan latar masyarakat dan tempat dalam sesebuah karya. Masyarakat Melayu semasa zaman Siti Salina merupakan antara masyarakat yang terdiri daripada golongan miskin dan tinggal di kampung yang masih jauh daripada perkembangan pembangunan. Penulis memasukkan kepercayaan masyarakat terhadap bunyi salakan anjing yang akan membawa berita baik merupakan contoh kepercayaan karut yang diamalkan oleh masyarakat Melayu ketika itu:
“Suara anjing menyalak kedengaran; suara lima ekor anjing. Selalunya begitulah di Kampung Kambing kalau ada orang pulang malam-malam. Salakan anjing menjadi isyarat yang baik – memberitahu kedatangan seseorang ke Kampung Kambing walaupun di luar kampung itu ataupun di dalamnya, sama ada orang datang itu orang kampung Kambing, orang yang tinggal di berek P.W.D ataupun orang yang tinggal di tempat lain tetapi datang ke situ.”
(Salina, 1961:198)

Kepercayaan-kepercayaan karut sepatutnya dikikis dan dihapuskan dalam minda seseorang. Hal ini akan menyebabkan pemikiran seseorang itu akan berada di takuk yang lama dengan menentukan baik buruk sesuatu peristiwa berdasarkan sesuatu peristiwa yang tidak masuk akal.


                        4.6.3    Pandangan Serong Terhadap Pekerjaan Pelayan
Pandangan serong merangkumi persepsi negatif atau tidak elok kepada sesuatu perkara. Pandangan serong ini lazimnya berlaku rentetan daripada kejadian atau peristiwa sumbang yang dilakukan oleh sesetengah pihak atau tingkah laku yang tidak elok sehingga pandangan negatif diberikan. Merujuk novel Salina ang dikaji, pandangan hidup masyarakat yang dapat dikenal pasti ialah pandangan serong sesetengah masyarakat terhadap pekerjaan sebagai pelayan.
Hal ini demikian kerana, pengarang telah menyelitkan pekerjaan sebagai pelayan sebagai pekerjaan dominan kaum wanita di Kampung Kambing. Namun begitu, sesetengah masyarakat di kawasan tersebut memandang rendah terhadap pekerjaan tersebut dengan beranggapan bahawa pekerjaan tersebut keji dan jijik. Berikut merupakan contoh petikan novel yang menggambarkan pandangan hidup sedemikian:

“kau tau,“ kata Cik Salim bila dia fikir sendiri sudah mula merasa puas, “jangan kaufikir jadi pelayan kau endah melayan dari jauh saja hah, hah? Pelayan bukan gitu, tau? Pelayan datang melayan dekat-dekat. Pelayan duduk dekat orang yang dilayannya. Pelayan duduk di atas pangkuan orang. Pelayan ikut saja cakap orang yang dilayannya, tau?
(Salina, 1961:300)

Berdasarkan keratan petikan novel tersebut dapat dilihat bahawa pandangan hidup sesetengah masyarakat pada ketika itu yang memandang keji terhadap pekerjaan sebagai pelayan. Hal ini demikian kerana, mereka meletakkan tanggapan bahawa pekerjaan pelayan hanya bekerja untuk melayan orang lain atau pengunjung dari segi zahir dan batin. Kesannya, pelayan dianggap seperti murahan dan tidak bermaruah kerana terlibat dengan pekerjaan sedemikian.


                        4.6.4    Pentingnya Menjaga Maruah Diri
Dalam novel Salina, abang Nahidah, iaitu Mansur sering menasihati Nahidah supaya sentiasa menjaga maruah dan nama baiknya kerana bagi Mansur tiada yang lebih berharga di dalam dunia ini melainkan nama baik dan maruah diri. Contoh peristiwa boleh dilihat di bawah:
Abangnya suka, bercakap kepadanya tentang beberapa hal, bercakap sekali tentang rancangannya selepas habis sainnya dengan sojar itu, dan meminta sekali lagi supaya adiknya itu menjaga dirinya baik-baik, mengingatkan bahawa tidak ada yang lebih berharga di dalam dunia ini selain meninggalkan nama yang baik.
                                                                                                            (Salina, 1961: 435)
Berdasarkan contoh petikan di atas, Mansur sangat menyayangi adiknya, Nahidah dan sentiasa menasihati adiknya supaya meninggalkan pekerjaan sebagai pelayan. Walaupun Mansur mengetahui bahawa adiknya terpaksa bekerja sebagai pelayan kerana ibu tirinya, Mansur sentiasa berpesan kepada Nahidah supaya menjaga maruah dirinya dan tidak terlanjur melayani lelaki-lelaki di tempat kerjanya walaupun dibayar dengan harga yang tinggi. Hal ini kerana harga diri merupakan benda yang tidak ternilai yang dimiliki oleh semua manusia. Oleh sebab itu, kita seharusnya menjaga harga diri seperti kita menjaga nyawa kita. Harga diri memperlihatkan perlakuan atau perangai yang dimiliki oleh seseorang sama ada baik atau buruk.



5.0       Kesimpulan
Kesimpulannya, novel Salina sangat layak untuk dianggap sebagai sebuah karya agung yang unggul kerana kandungannya yang mengandungi nilai estetika yang tinggi dari aspek kepengarangannya. Aspek-aspek yang telah ditemui oleh pengkaji dalam novel ini telah memperlihatkan kebolehan dan keunggulan pengarang dalam menyampaikan mesej dan pemikirannya kepada khalayak pembaca. Aspek-aspek sebuah karya yang unggul seperti mesej, budaya, nilai, pandangan hidup, ilmu dan estetika dan kepengarangan dalam novel ini jelas memperlihatkan idealisme A. Samad Said ketika berkarya. Karya-karya sebegini perlu diteruskan oleh pengarang-pengarang zaman ini supaya dapat meneruskan kegemilangan dalam bidang kesusasteraan Melayu.


Nilai Budaya

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2010) mendefinisikan nilai sebagai darjat, kualiti, mutu dan taraf serta sifat ketinggian pemikiran, agama, kemasyarakatan dan lain-lain. Berdasarkan definisi tersebut kita dapat rumuskan bahawa nilai berkait rapat antara satu sama lain bagi menghasilkan sesuatu yang berkualiti. Manakala budaya pula bermaksud tamadun, peradaban, bersifat budaya, yang mengenai kebudayaan. Budaya juga merupakan suatu cara hidup yang berkembang dan dimiliki bersama oleh sebuah kelompok manusia dan diwariskan dari satu generasi ke satu generasi lain. Sesuatu perkara yang menjadi kebiasaan dan ikutan menjadi budaya termasuklah sistem agama dan politik, adat istiadat, bahasa, perkakasa, pakaian, dan karya seni. Jelaslah sekarang bahawa nilai dan budaya mempunyai perkaitan antara satu sama lain yang menjadi panduan dan ikutan bagi sesebuah kelompok masyarakat.
Menurut Mohd. Rashid Hj. Md. Idris, Abd, Rahman Napiah, dan Seri Lanang Hj. Rohani (2015), budaya daripada perkataan Sanskrit iaitu duddayah yang merupakan perkataan jamak bagi perkataan buddhi yang bermaksud budi pekerti atau akal. Secara umumnya, budaya bermaksud segala sesuatu yang dibawa atau dikerjakan oleh manusia. Dalam bahasa Inggeris pula budaya disebut sebagai culture yang berasal daripada perkataan Latin iaitu colore yang bermaksud menanam atau mengerjakan. Segala sesuatu yang terdapat dalam sesebuah masyarakat mempunyai hubung kait atau boleh ditentukan oleh kebudayaan yang dimiliki masyarakat itu sendiri. Fahaman ini dikenali dalam kalangan ahli antropologi sebagai fahaman determinism atau penentuan budaya. Selain itu, budaya juga adalah sesuatu yang diperturunkan daripada satu generasi ke generasi seterusnya dan konsep ini disebut sebagai organik lampau.
                        4.5.1    Nilai Ketabahan dalam Menghadapi Dugaan Hidup
Nilai ketabahan ini dapat dilihat menerusi watak Siti Salina yang cekal dalam menghadapi dugaan hidup setelah ahli keluarganya meninggal dunia akibat terkena bom semasa Perang Dunia Kedua. Berikutan dengan itu, Siti Salina mula terjebak dengan pelacuran kerana Siti Salina mengalami kesempitan hidup. Dalam masa yang sama, Abdul Fakar turut mengambil kesempatan terhadapnya dengan memukul dan memarahinya. Contoh petikan adalah:
“Kenapa kau sanggup diseksa orang sampai begitu?” Katijah bersuara sambil terbatuk-batuk dua tiga kali.
(Salina, 1961:524)
Petikan menunjukkan Katijah telah bertanya kepada Siti Salina mengenai penyeksaan yang telah menimpa dirinya. Kita sebagai manusia biasa perlu mempunyai sikap yang tabah dalam hidup bagi menmpuh hari yang akan datang. Sikap yang tabah dan sanggup mengharungi cabaran yang mendatang akan menguatkan diri kita untuk meneruskan kehidupan.
                        4.5.2    Mengenang Budi
Dalam novel Salina ini dapat dilihat nilai budaya, iaitu nilai mengenang budi. Nilai ini ditonjolkan pada watak Sunarto yang mengenang budi ayah angkatnya, iaitu Mutalib yang menyelamatkannya yang menghidap penyakit demam malaria sewaktu dibawa oleh tentera Jepun ke Siam. Walaupun ayah angkatnya telah meninggal dunia dan dirinya sering diherdik dan dihina oleh Zarina namun dia tetap tinggal di rumah Zarina kerana ingin membalas jasa ayah angkatnya dengan menjaga Nahidah dan Mansur dengan baik. Hal ini hasil daripada didikan ayah angkatnya yang sering bercerita kepadanya tentang budi bahasa dan dia masih mengingati kata-kata ayahnya, iaitu:
Sewaktu di kampungnya dahulu ayahnya sendiri sering bercerita kepadanya tentang budi bahasa. Walaupun di masa itu tidak diketahuinya sungguh-sungguh apa sebenarnya budi bahasa itu dalam erti yang mendalam, tetapi kata-katanya “budi baik jangan kau lupakan sehingga bila-bila” itu tetap semarak itulah yang menghalangnya untuk meninggalkan keluarga Zarina-keluarganya. Ya, budi baik orang tak boleh kulupa sampai bila-bila, bisik Sunarto di dalam hatinya.
(Salina, 1961:62) 
Nilai ini seharusnya ditanam dalam diri masyarakat kita hari ini untuk menjaga hubungan silaturrahaim sesama masyarakat. Dengan adanya nilai ini dalam diri kita, kita akan lebih dihormati dan dihargai oleh masyarakat sekeliling. Budi baik yang diberikan kepada kita seharusnya kita hargai dengan membalasnya dalam apa jua keadaan khusunya apabila mereka dalam kesusahan.
                        4.5.3    Mengambil Berat Demi Kebaikan Orang Lain
Nilai ini dapat dilihat berdasarkan watak Katijah. Katijah sering menasihati Siti Salina agar meninggalkan Abdul Fakar yang selama ini menganiaya dan menyeksa Siti Salina. Katijah juga sering bertanyakan sebab Siti Salina terlalu menyayangi Abdul Fakar sedangkan Abdul Fakar sering mempergunakan Siti Salina, tetapi Siti Salina tidak pernah merungut dan membiarkan sahaja dia diperlakukan begitu. Contohnya dapat dilihat pada petikan yang berikut:
“Saya tak adil selama ini, kak,” katanya kepada Katijah. Katijah kehairanan juga mendengar jawapan itu.
Kenapa?”
“Sebab selama ini saya tak ambil berat segala apa kakak nasihatkan. Bukan saya tak tau apa yang kak masihatkan itu benar, tapi entahlah, saya tak mau menerima nasihat itu sehinggalah sekarang ini. Sekarang ini barulah saya sedar apa yang kakak nasihatkan itu ialah untuk kebaikan saya. Dan saya akan ikut sekarang,” kata Siti Salina.
(Salina, 1961: 527)

Kita seharusnya menegur ataupun memberi nasihat kepada sesiapa sahaja yang dirasakan melakukan kesilapan dalam hidup mereka. Hal ini dapat membantu mereka dalam memperbaiki cara hidup mereka pada hari akan datang dengan lebih baik. Walau bagaimanapun cara untuk memberi nasihat kepada seseorang haruslah dengan cara yang betul supaya mereka dapat menerima segala teguran kita. Sekiranya sikap mengambil berat daripada nasihat ini dapat ditonjolkan, kita dapat membuktikan kepada seseorang bahawa kita mempunyai nilai kasih sayang terhadapnya.
                        4.5.4    Bertolak Ansur
Bertolak ansur merupakan sikap yang sangat penting terutama dalam hidup berkeluarga dan bermasyarakat. Sikap bertolak ansur yang terdapat dalam novel Salina boleh dilihat pada sikap Kurupaya yang dinyatakan oleh Nahidah sebagai seorang yang baik dan tidak menyombong serta seorang yang sangat bertolak ansur. Contoh boleh dilihat di bawah:
“Kurupaya boleh tunggu sampai saya habis cuci?” tanya Nadihah mengharapkan Kurupaya akan mengasihaninya. Dia tahu Kurupaya baik. Walaupun Kurupaya membuat wang kerana menyewakan kandang-kandang kambingnya itu tetapi dia tidak pula menyombong atau kejam seperti tuan-tuan punya rumah di kampung lain. Kurupaya Samy lebih dapat menyelami hati dan kesusahan penyewa-penyewa bilik rumahnya dan terkadang-kadang kalau penyewa-penyewanya lambat membayar sewa bilik mereka- sehingga ke satu bulan – dia tidak akan memintanya pun. (Biar pun dia sebenarnya- lebih suka kalau wang sewa rumah itu dapat dikemukakan pada hari yang telah ditetapkan, lima belas hari bulan).
 (Salina, 1961:433)

Sikap bertolak ansur merupakan sikap yang sukar dimiliki oleh seseorang pada masa kini. Hal ini kerana, masyarakat hari ini saling tidakmahu mengalah antara satu sama lain. Sikap bertolak ansur seharusnya disemai dari kecik supaya menjadi insane yang dihormati dan disayangi ramai. Dengan terpeliharanya sikap ini, hubungan sesama manusia juga akan lebih bertambah erat kerana dapat mengelakkan daripada berlakunya perkara yang tidak diingini.

Estetika dan Kepengarangan

Sebuah karya yang agung ialah karya yang baik ciptaanya, tinggi seninya dan halus kandungannya. Perkara-perkara inilah yang akan menyebabkan apabila kita membaca sesebuah karya kita akan turut sama berada dalam dunia tersebut. Aspek kepengarangan dan estetika yang dimasukkan oleh pengarang akan menimbulkan rasa keindahan dan meninggalkan kesan yang mendalam dalam diri kita.
Pengarang telah menggunakan beberapa teknik semasa mengarang novel Salina. Antaranya adalah;
            4.4.1    Teknik Imbas Kembali
Teknik ini merupakan kaedah imbasan atau gambaran semula tentang sesuatu peristiwa yang dialami atau berlaku di sekeliling penulis. Sesuatu peristiwa tersebut meninggalkan kesan yang mendalam sehingga penulis masih dapat menggarapkan kembali cerita tersebut secara terperinci.
“Hilmy memandang budak-budak itu, lalu teringat segera akan ketika dia sendiri seperti itu untuk mendapatkan bubur pada beberapa tahun yang lalu. Dia memperhatikan Haji Karman, dan Haji Karman memerhatikannya pula sambil berkata sekali:
“ha, tengoklah budak-budak, gitulah dia orang selalu. Riang saja. Berebut-rebut gitu pun dia orang tak kira, padahal bubur itu bukannya sikit.”

                                                                                         (Salina, 1961:317)
“Di antara adik beradiknya itu Siti Salinalah yang tertua. Adiknya, tiga orang, masing-masing termuda setahun-setahun sahaja di antara satu dengan yang lain. Walaupun Siti Salina lebih rapat kepada ibunya daripada ayahnya, tapi dia lebih menyayangi ayahnya, kerana ibunya bukan ibunya yang sebenar. Ibunya yang sebenar sudah tiada sejak umurnya masih enam bulan lagi. (Adiknya-adiknya adalah hasil perkahwinan ayahnya dengan isterinya yang baharu itu).”
                                                                          
(Salina, 1980: 116)
            4.4.2    Teknik Dialog
Teknik dialog adalah percakapan, perbicaraan (dalam lakonan), tulisan dalam bentuk percakapan, pertukaran pendapat dan soal jawab mengenai sesuatu. Dalam kata lain dialog adalah percakapan antara pelaku-pelaku yang terlibat dalam sesebuah cerita. Dalam novel Salina, terdapat penggunaan dialog yang sangat ketara;
“Mansur ada hantar surat?”
“ada.”
“apa cakap?”
“dia mahu masuk hutan tak lama lagi.”
“ayoyo, macam angkau punya bapak juga?”
Nahidah diam, tetapi menganggukkan kepalanya. Ada sesuatu yang tidak mahu dia mengingatinya tentang itu. Lebih-lebih lagi tentang hutan itu.
“Dia tadak datang sini?”
“tadak. Dia ada datang saya punya kerja punya tempat.”
“hmmmmmmmm hmmmmmmm,” kata Kurupaya tanpa memandang Nahidah.
                                                                                   
                                                                                    (Salina, 1961:434)

4.4.3    Teknik Monolog
Novel Salina juga menggunakan teknik monolog. Teknik monolog ini adalah apabila seseorang watak berfikir dalam hatinya. Contohnya adalah apabila watak Sunarto yang mula didedahkan dengan perangai sebenar Zarina dan konflik yang berlaku antara mereka.
“Kenapa Zarina mesti begitu terang-terangan benar menghalaunya? Pertanyaan itu selalu menjenguk-jenguk di kepala Sunarto. Dahulunya tidak begini. Sekarang Zarina begitu berani. Mengapa demikian? Apakah sudah dirasanya bahawa tanpa Sunarto dia boleh hidup juga senangnya? Fikir Sunarto…”
(Salina, 1980: 65)
                        4.4.4    Bentuk Karya yang Realisme
Penceritaan yang berlandaskan pengalaman persekitaran yang dialami oleh pengarang dilihat sedikit berbeza dengan karya-karya yang telah terhasil. Pengalaman itu boleh diambil daripada persekitaran kehidupan diri pada zaman kanak-kanak, kembali ke warisan leluhur yang banyak mencipta sejarah atau peristiwa yang signifikan dan menarik. Merujuk karya Salina, A. Samad Said merupakan orang yang bertanggungjawab mentaksirkan pengalaman yang dialami ke dalam bentuk karya. 

Dengan erti kata lain, pengalaman yang dialami oleh A. Samad Said telah menarik perhatian beliau untuk menghasilkan sebuah karya seumpama itu. Namun begitu, berlaku tokok tambah dalam penceritaan tersebut bagi menampakkan tarikan dan keistimewaan dalam jalan cerita tersebut. Selain itu, penghasilan karya ini rentetan daripada kesedaran oleh A. Samad Said untuk memaparkan suasana dan situasi yang dialami oleh segolongan masyarakat selepas perang dunia kedua.  Menurut Siti Aisah Murad (2007: 205), pengalaman beliau yang luas tentang permasalahan yang berlaku dalam masyarakat diadun dengan gaya imaginasi dan dilahirkan kembali ke dalam novel. 

Estetika pula boleh dilihat daripada penggunaan gaya bahasa yang menarik dan meninggalkan kesan kepada pembaca oleh pengarang. Antara gaya bahasa yang terdapat dalam Novel Salina adalah;
4.4.5    Simpulan Bahasa
Menurut Abdullah Yusof et al. (2009: 148), simpulan bahasa ialah kata-kata yang mempunyai makna yang tersirat. Simpulan bahasa terdiri daripada dua patah kata yang membawa maksud yang tepat dan padat.
“Kau jangan besar kepala tau! Ini bukan rumah kau! Ini rumah aku. Aku akan bawa Madhubala ke sini,” kata Abdul Fakar dengan suara yang kasar. “
(Salina, 1961:521)
4.4.6    Bahasa Asing
Terdapat penggunaan bahasa asing dalam novel Salina. Antaranya ialah bahasa Arab dan bahasa Inggeris.

“… Haji Karman sedih mendengarnya. Dia membacakan surah itu perlahan-lahan. ‘Qulhual’lahuahad, Allahus;samad, Lam Yalid walam Yullad. Walam Yaku’lahu Kufu’an Ahad.’’…                                                                                                                                                            
 (Salina, 1961:269)
                       
4.4.7    Tabu
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2010) menyatakan bahawa tabu ialah pantang larang yang diharamkan atau ditegah daripada dipercakapkan.
“Apabila dilihatnya anak itu sedang mengusik kambing itu lagi, Katijah memarahkan, “Hei Bulat! Kenapa nakal, hah? Kenapa kau suka benar usik kambing? Kambing usik kotek kau, ya? Baik kau pergi, kalau tidak nanti kambing makan kotek kau!”. Si Bulat lari lagi. dan menjerit-jerit lagi.”

(Salina, 1961:115)
4.4.8    Disfemisme
Menurut Rahman Shaari (2001: 21), disfemisme ialah kata atau ungkapan  kasar yang bertujuan untuk menyinggung perasaan orang lain.
“Aku kena hasut orang? Kau bangsat! Aku kau kata kena hasut orang?” suara Zarina semakin meninggi, dan Sunarto tidak senang sekali mendengarkan dirinya dipanggil bangsat, walaupun sekali dulu dia pernah bangsat. “Kau fikir aku macam kau ya, senang kena hasut? Hah? Kau bangsat, kau dah hasut Idah supaya lari, dan bila Idah dah lari, kau masih juga endak tunjuk kau benar ya? Bangsat! Berambus bangsat, berambus!”

(Salina, 1961:492)
                        4.4.9    Personifikasi
Personafikasi merupakan gaya bahasa perbandingan iaitu penginsanan atau pemberian ciri-ciri peribadi orang kepada sesuatu benda, binatang,  tumbuh-tumbuhan, keadaan, barang yang tidak bernyawa atau sesuatu perkara yang abstrak.
Dua tiga kali enjin lori itu merengek-rengek-pada mulanya merengek pendek-pendek kemudian merengek panjang lalu mati-dan akhirnya bergerak juga ia berlalu dari jalan sempit berlekak-lekuk yang memisahkan Kampung kambing dengan petak “A” itu.

                                                                                    (Salina, 1961:7)

4.4.10  Inversi
Inversi ialah gaya bahasa pertentangan yang memfokuskan pembalikan kata-kata atau frasa yang berbeza daripada  susunannya yang lazim atau ayat yang susunannya dimulai  dengan predikat dan diikuti oleh subjek.
“tapi saya fikir ini kali orang tak ada banyak”, kata Benggali yang menjaga paip air di rumah pekerja-pekerja P.W.D itu.
                                                                                                                       
 (Salina, 1961:4)
                        4.4.11  Sinis
Sinis merupakan gaya bahasa pertentangan yang berupa sindiran tajam iaitu sindiran yang menyakitkan hati dan menyinggung perasaan serta diucapkan untuk menunjukkan ejekan terhadap keikhlasan atau kejujuran seseorang yang diraguinya.
“Ai, bukan aku nak periksa, aku hendak tahu sajalah; tiap-tiap orang yang datang mestilah kita tahu baik buruknya, kan”? Kata Haji karman sambil menyepak tengkuknya yang dihinggap nyamuk.
“ Bukan pak haji tak tahu : kebanyakan orang yang datang ke tempat ini susahlah. Kalau tak susah, siapa yang hendak tinggal di tempat yang kalau siang panasnya macam neraka dan kalau malam banyak nyamuk pula! Lagi pula kalau orang datang tu tak baik pak haji hendak apakan?Hendak keluarkan hadis lagi seperti selalu?” kata perempuan muda itu tegak-tegak.                                                                                  

 (Salina, 1961:10)

Falsafah dalam Novel Salina

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2010 : 406), falsafah didefinisikan sebagai pengetahuan tentang pengertian yang dianggap sebagai ilmu yang tertinggi yang menjadi dasar ilmu-ilmu lain. Perkataan falsafah berasal daripada bahasa Yunani philisophia, iaitu philo ertinya cinta dan Sophia ertinya hikmat (Mohd Rashid Md Idris, 2012:1). Cinta kepada ilmu dan kebenaran adalah falsafah.Hal ini bermaksud falsafah mempunyai ciri-ciri seperti pemikiran yang tertinggidan bertujuan mendapatkan kebenaran.
Mana Sikana (1996), membahagikan bidang falsafah kepada enam jenis iaitu ilmu teologi, ilmu etika, ilmu estetika, ilmu mantik, ilmu metafizika dan ilmu kosmologi. Ilmu teologi ialah ilmu yang berkisar tentang Tuhan dan hubungannya dengan manusia, sama ada berdasarkan kebenaran wahyu ataupun penyelidikan akal murni. Ilmu etika pula berkaitan dengan tingkah laku manusia yang dilihat dari sudut baik dan buruknya, sejauh yang dapat ditentukan akal. Ilmu estetika membahaskan tentang keindahan dan kesenian.
Ruang lingkup estetika merangkumi hal-hal yang berkaitan dengan sedih dan lucu, yang bergaya dan yang mulia, bahkan yang buruk atau busuk pun dapat dikaitkan dengan keindahan yang relative.  Manakala, ilmu mantik adalah ilmu berkata benar atau berfikir benar.Al- Farabi menyatakan ilmu yang mantik adalah ilmu yang memberi tenaga fikiran dan kemampuan membezakan sesuatu yang merupakan alat falsafah. Ilmu metafizika merupakan ilmu agama seperti kepercayaan tentang kewujudan Tuhan dan yang terakhir ialah ilmu kosmologi yang mengkaji tentang hal-hal yang berhubung dengan alam.
                        4.3.1    Falsafah Sosial
Sosial ialah gambaran kehidupan realiti manusia. Realiti kehidupan telah diketengahkan oleh pengarang di dalam novel Salina yang telah memaparkan gambaran sebenar golongan masyarakat yang menjadi mangsa perang dunia kedua sehingga membawa kesengsaraan dan kemiskinan kepada mereka dan ada segelintir golongan masyarakat yang terlibat dengan kehidupan yang tidak sihat. Pengarang telah mengetengahkan bentuk sosial yang bersifat realisme, iaitu cerminan budaya masyarakat pada ketika itu.
Dalam novel Salina ini, dapat dilihat kehidupan  masyarakat yang berada dalam kesusuahan seperti penduduk di Kampung Kambing sangat daif sehinggakan keperluan air perlu dicuri-curi ambil dari bangunan berek pejabat kerajaan yang terletak berdepan dengan kampung tersebut. Rumah-rumah mereka pula sebenarnya kandang kambing yang telah diubah suai sebagi rumah setinggan dan ia merupakan deretan bilik yang disewa oleh tuan kandang kambing tersebut. Manakala penghuni-penghuninya pula kebanyakkan sisa-sisa ledekan perang dunia kedua yang telah hilang kaum keluarga, kerja dan tempat bergantung. Keadaan perang yang melanda menyebabkan masyarakat mengalami penderitaan hidup untuk menjalani kehidupan seharian mereka terutamanya dalam masalah tempat tinggal.
“rumah-rumah kandang kambing itu semuanya tidak sempurna. Dindingnya terbuat dari papan-papan peti susu yang buruk dan berbulu-bulu, kulit-kulit kayu balak yang tebal dan bercendawan, zink-zink tong minyak berkarat yang sudah dileperkan (tetapi masih kemik di sana sini) dan kadbod-kadbod yang sudah berbulu dan berbelang-belang oleh resapan air hujan,”
(Salina, 1961:3)
Petikan di atas menunjukkan kedaifan yang dihadapi oleh Salina apabila dia terpaksa menyewa kandang kambing sebagai tempat untuk berlindung. Keadaan rumah yang agak buruk dan busuk yang dijadikan tempat berlindung menunjukkan bahawa sosial masyarakat selepas perang berada dalam kedaifan seperti yang diketengahkan olleh pengarang seperti teks di atas. Jadi jelaslah bahawa, keadaan sosial masyarakat selepas perang membawa kepada kesengsaraan kepada masyarakat.
4.3.2    Falsafah Etika
Etika ialah pemikiran tentang moral, pendidikan dan pengajaran. Berdasarkan dalam novel Salina, falsafah etika dapat dilihat melalui ilmu pengetahuan yang masih menjadi keutamaan dalam masyarakatnya. Novel Salina ini menunjukkan bahawa pendidikan tetap menjadi keutamaan bagi masyarakat walaupaun mengalami penderitaan hidup. Ilmu pengatahuan menjadi pegangan utama sebagai penyuluh hidup untuk masyarakat bergerak maju ke hadapan. Sebagai contoh dapat dilihat seperti teks berikut:
Memang dari sekolah Melayu dulunya; sesudah sekolah Melayu barulah dihantar ke sekolah Inggeris. Kalau hendak dihantar ke sekolah Inggeris terus saja, siapa yang mampu? Ayahnya bukan ada. Untunglah dapat sekolah free, jawab Katijah menerangkan.
(Salina, 1961:10)
Petikan di atas menunjukkan  keadaan Katijah yang mengalami kemusnahan hidup setelah Perang Dunia Kedua, namun dia masih mampu menyekolahkan Hilmy malah Hilmy dapat dilihat sebagai pelajar yang pandai kerana mampu bersekolah di sekolah Melayu Kota Raja dan berpindah ke sekolah Inggeris Monk’s Hill dan Victoria School secara percuma. Kesusahan hidup yang dialami oleh Katijah tidak menghalang untuk menghantar anaknya untuk menuntut ilmu. Pendidikan menjadi keutamaan bagi Katijah kerana pendidikan dapat mengubah kehidupan mereka pada masa akan datang. Jadi jelaslah bahawa ilmu pengetahun merupakan aspek yang ditekankan oleh masyarakat pada katika itu.
Selain itu, falsafah etika dapat ditunjukkan melalui peranan kaum wanita sebagai pelayan. Pekerjaan sebagai pelayan dalam kalangan golongan wanita begitu dominan pada zaman perang. Pekerjaan tersebut merupakan salah satu sumber pencarian rezeki pada ketika itu untuk meneruskan kehidupan seharian mereka. Melalui novel Salina ini, dapat memperlihatkan watak wanita yang bekerja sebagai seorang pelayan. Dalam novel ini, memperlihatkan watak Zarina dan Nahidah. Zarina merupakan ibu tiri kepada Nahidah dan bekerja sebagai seorang pelayan untuk menyara hidupnya.
“Mak dah pun carikan kerja untuk kau,” kata Zarina mendekat ke maksud utamanya. “Kerja tu dah pun mak dapatkan, cuma tunggu jawapan dari kau saja. Mak harap benar kau mahu bekerja.”
                                                                                                              (Salina,1961:162)
Petikan di atas, Zarina telah mencarikan pekerjaan kepada anak tirinya iaitu Nahidah sebagai pelayan. Menurut Zarina pekerjaan sebagai pelayan akan mendapat segala kemewahan hidup seperti pakaian, tempat tinggal dan sebagainya. Zarina juga turut menceritakan kehidupan dia yang sebelum ini semasa menjadi pelayan yang memperolehi kemewahan hidup. Pekerjaan sebagai pelayan pada ketika itu dapat mengubah kehidupan masyarakat pada ketika  itu dan menjadi sumber rezeki dalam menjalani kehidupan seharian.
            4.3.3    Falsafah Ekonomi
Ekonomi ialah sistem pendapatan dan pengurusan harta benda. Falsafah ekonomi selepas perang dunia kedua yang paling ketara dapat ditunjukkan apabila kaum perempuan bekerja sebagai pelayan. Zarina merupakan ibu tiri kepada Nahidah memaksa Nahidah menjadi pelayan untuk menyara keluarganya. Falsafah ekonomi selepas perang dunia kedua yang paling ketara dapat ditunjukkan apabila kaum perempuan bekerja sebagai pencuci pinggang. Melalui novel Salina, kita dapat melihat watak seorang ibu tunggal, iaitu Katijah yang terpaksa bekerja sebagai tukang cuci di empat buah rumah orang inggeris demi menyara anaknya yang sedang belajar, iaitu Hilmy.  Sebagai contoh seperti teks berikut:
“Bukan kerja apa-apa; cuma cuci kain dan baju saja,” Katijah menerangkan. “Hari ni kakak cuci kain baju di rumah Nyonya Swee Kim dan Encik Burhan. Esok cuci di rumah orang lain pula. Begitu bergilir-gilir. Kalau tak begitu manalah nak dapat duit,” Katijah memandang Hilmy dan berkata, “nak harapkan budak ni, kurang-kurang kena tunggu dua tiga tahun lagi…                                                                                     
  (Salina, 1961: 38)

Petikan di atas menunjukkan Katijah terpaksa bekerja sebagai pencuci pinggang untuk menyara kehidupan mereka. Pekerjaan tersebut merupakan punca pendapatan utama Katijah dan hasil pekerjaan tersebut dia dapat menghantar anaknya iaitu Hilmy ke sekolah untuk menuntut ilmu. Keadaan ekonomi masyarakat tersebut berada pada tahap yang rendah kerana mereka terpaksa bekerja pelbagai pekerjaan untuk menyara kehidupan.Hal ini jelas terbukti melalui watak Zarina yang telah menggunakan kesempatan kecantikan anaknya iaitu Nahidah untuk bekerja sebagai pelayan. Zarina merupakan ibu tiri kepada Nahidah memaksa Nahidah menjadi pelayan untuk menyara keluarganya. Jadi jelaslah pelbagai pekerjaan terpaksa dilakukan oleh masyarakat pada ketika itu untuk menyara kehidupan seharian mereka.

Nilai Ilmu Novel Salina

Kamus Dewan Edisi Keempat (2010) mendefinisikan ilmu sebagai pengetahuan dalam perkara dunia, akhirat, zahir, batin dan lain-lain. Hal ini bermaksud ilmu sangat berkait rapat dengan pemerolehan sesuatu pengetahuan dan berkaitan dengan usaha kita menyebarkannya kepada orang lain dalam bentuk pelbagai maklumat. Sebenarnya yang dikatakan ilmu ini mempunyai pelbagai fungsi. Antaranya adalah untuk menyebarkan ilmu pengetahuan yang boleh digunakan untuk menyelesaikan sesuatu masalah, membuat keputusan dan mengembangkan lagi perkara yang mengandung kemusykilan.
Kandungan karya-karya agung moden tentunya mempunyai pelbagai ilmu yang sangat signifikan dengan kehidupan masyarakat Melayu pada zaman moden. Penelitian terhadap karya-karya  agung moden membolehkan kita mengetahui dan memahami ilmu masyarakat pada zaman tersebut secara dalam. Dalam karya agung khususnya dalam Novel Salina oleh A. Samad Said, ilmu dan maklumat yang dikaji adalah seperti ilmu pertukangan, ilmu ketenteraan, ilmu agama dan ilmu bahasa.

            
           4.2.1    Ilmu Pertukangan
Ilmu pertukangan ialah ilmu yang berkaitan dengan kepandaian seseorang dalam pekerjaan tangan, (Kamus Dewan Edisi Keempat: 1724). Kerja-kerja yang berkaitan dengan pertukangan adalah seperti kerja yang dilakukan oleh Salina dalam novel tersebut. Salina telah menukarkan atap yang bocor kerana tuan rumah, iaitu Kurupaya Samy tidak mahu membaiki atap di rumah tersebut. Hal ini disebabkan oleh sikap Kurupaya yang mahu mengaut keutungan di atas kesusahan orang lain. Oleh itu, Salina telah membaiki kerosakan tersebut. Berikut merupakan contoh petikan yang telah diambil daripada novel Salina.
Dah tak bocor sekarang. Dah kak betulkan. Kalau  tidak dulu bocor juga macam rumah Hilmy itu, “ Siti Salina menjawab.
                                                                                                            (Salina, 1961:42)
Rumah kak tak payah dibetulkan atapnya tadi. Semuanya dah kakak betulkan. Di bawahnya kakak taruh syiling.”
                                                                                                            (Salina, 1961:44)
Berdasarkan petikan tersebut, maka jelaslah bahawa masyarakat pada zaman moden ini mahir dalam ilmu pertukangan. Ilmu pertukangan telah dipaparkan melalui watak utama dalam novel ini iaitu watak Salina. Melihat dari sudut falsafah, pengarang cuba menyelitkan mesej betapa pentingnya ilmu pertukangan dalam kehidupan seharian.

4.2.2    Ilmu Ketenteraan
Ilmu ketenteraan merupakan salah satu ilmu yang terkandung dalam novel Salina. Secara umumnya, ilmu ketenteraan membawa maksud ilmu yang berkaitan dengan perihal tentera dan hal-hal yang berkaitan dengan peperangan. Pengarang telah memasukkan nilai ilmu ketenteraan dalam novel Salina secara tidak langsung. Hal ini demikian kerana peristiwa-peristiwa yang melibatkan peperangan tidak berlaku secara nyata dalam jalan cerita novel ataupun dialami oleh watak Salina sepanjang plot novel. Penulis lebih cenderung menggunakan tema peperangan yang merupakan antara pengalaman beliau sendiri. Pengalaman tersebut kemudiannya dimasukkan dalam penulisan novel Salina. Walau bagaimanapun, ilmu ketenteraan ini hanya diceritakan secara asas sahaja seperti latihan-latihan yang dijalani oleh anggota tentera, seperti yang dialami oleh watak kekasih Salina, iaitu Muhammad Yusup. Berikut merupakan petikan yang telah diambil daripada novel Salina.
“Saya dan kawan-kawan lain akan dibawa ke suatu tempat yang masih belum diketahui lagi di mana. Khabarnya kamu akan belajar menggunakan senjata (tidak lagi belajar cara mengikat bandage dan merawat luka!) Saya dan kawan-kawan lain akan belajar pula cara hendak menggunakan senjata untuk membunuh manusia yang menjadi musuh.”
                                                                                                (Salina, 1961:184-185)
Petikan di atas merupakan dialog yang terdapat dalam novel Salina melalui perbualan watak Muhammad Yusup dan Salina. Berdasarkan petikan tersebut, jelaskan bahawa ilmu ketenteraan wujud dalam cerita ini yang mewakili situasi sebenar kehidupan masyarakat pada zaman tersebut, zaman moden.


4.2.3    Ilmu Agama
Ilmu agama merupakan salah satu nilai ilmu yang seharusnya ada pada setiap karya agung tidak kiralah karya agung moden atau karya agung klasik. Secara umumnya, ilmu agama meliputi ilmu tentang keduniaan serta alam akhirat. Hal ini demikian kerana, dalam agama Islam sendiri, ilmu agama merangkumi peraturan-peraturan serta adab-adab yang perlu dipatuhi atau dihindari oleh penganutnya.
Dalam karya Salina pula, nilai ilmu agama dapat dilihat apabila pengarang menyelitkan kepakaran golongan masyarakat yang mahir dalam ilmu agama. A. Samad Said telah mewujudkan satu watak yang terkenal dengan ilmu agamanya dan sering menyebarkan ilmu tersebut kepada masyarakat setempat. Berikut merupakan contoh petikan yang telah diambil daripada novel Salina.
Apa yang terdaya olehnya hanyalah memberi nasihat dan beberapa petua, mengeluarkan beberapa ayat Al- Quran yang menunjukkan kecelakaan memandang keduniaan belaka, dan menunjukkan kebahagian memandang ke dunia belaka, beramal dan beriadat, mengenal Tuhan dari dekat, mengenal agama dari dekat, dan mengamalkan suruhan Tuhan setiap hari.”
                                                                                                               (Salina, 1961:268)
Berdasarkan petikan tersebut, dapatlah disimpulkan bahawa ilmu agama, khususnya agama Islam wujud dalam kalangan masyarakat dalam novel Salina. Masyarakat pada zaman ini cukup disajikan dengan ajaran-ajaran agama bagi membolehkan mereka lebih dekat dengan Pencipta.


4.2.4    Ilmu Bahasa
Ilmu bahasa merupakan ilmu yang berkaitan bahasa yang digunakan oleh sesuatu masyarakat sama ada secara lisan atau penulisan. Kebiasaannya suatu kelompok masyarakat menggunakan bahasa Ibunda sebagai seharian mereka. Namun tidak dinafikan bahawa terdapat segelintir masyarakat yang sudah tahu berbahasa dalam bahasa asing seperti bahasa Inggeris, bahasa Cina dan sebagainya.
Dalam karya Salina, pengarang telah menggunakan bahasa Inggeris sebagai salah satu bahasa pada zaman tersebut. Hal ini ditonjolkan melalui pengajaran di sekolah. Bahasa Inggeris telah digunakan oleh guru bahasa Inggeris, iaitu Miss Mirian Kamala yang mengajar Hilmy semasa melanjutkan pelajarannya di Special Malay Class salah satu Darjah Sekolah Melayu. Hilmy telah dihantar oleh ayahnya ke sekolah Inggeris setelah tamat darjah lapan di Sekolah Melayu Kota Raja, sekolah Inggeris, dan Victoria Institution.
Guru itu menerangkan segala-galanya tentang tempat-tempat di dalam kawasan sekolah itu dalam bahasa Inggeris. “This is the headmasters’s office”, “And this is the teacher’s common room, “That is the tuckshop” dan “And there is your smelly lateries, “kata guru perempuan bercermin mata tebal…                                                                        (Salina, 1961:54)


Petikan di atas menunjukkan salah satu contoh bahawa ilmu bahasa khususnya bahasa Inggeris wujud dalam kalangan masyarakat novel Salina. Pengarang cuba menerangkan bahawa masyarakat pada zaman tersebut sudah terdedah dengan ilmu bahasa daripada bangsa lain. Dari segi nilai falsafahnya adalah pengarang menjelaskan masyarakat pada zaman tersebut agak bijak dan tidak ketinggalan zaman. 

Pemikiran Novel Salina

4.1       Pemikiran
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2010:411), pemikiran dapat didefinisikan sebagai perihal berfikir. Dalam bidang sastera pula, pemikiran ini selalunya dimulakan dengan idea yang diperoleh oleh pengarang yang kemudiannya diolah oleh pengarang sehingga menjadi sebuah karya atau buah fikiran yang bernas. Secara mudahnya, pemikiran dapat dikaitkan dengan perkara utama atau tema dan persoalan yang ingin disampaikan dalam sesebuah karya. Selain itu, pemikiran juga dapat dikaitkan dengan mesej yang ingin disampaikan oleh pengarang kepada pembaca dalam sesebuah karya. Pemikiran dalam Novel Salina  ini telah diskopkan kepada beberapa bahagian yang lebih kecil yang merangkumi pemikiran kesempitan hidup dalam meneruskan kehidupan akibat tragedi Perang Dunia Kedua, eksploitasi golongan kaya terhadap golongan miskin, kepincangan keluarga akibat daripada sikap rakus manusia terhadap kebahagiaan duniawi dan kehidupan bersama dan sikap bantu-membantu bagi golongan yang memerlukan.

4.1.1    Keperitan hidup selepas Perang Dunia Kedua
Perang Dunia Kedua sememangnya memberikan kesan yang sangat besar  dalam jiwa masyarakat dunia. Bagi masyarakat Singapura, peperangan yang berlaku antara Jepun dengan Singapura memberikan kesan yang mendalam di mana pengakhiran peperangan tersebut menunjukkan bahawa Singapura telah jatuh ke tangan Jepun. Hal ini menyebabkan rakyat Singapura hidup dalam keadaan kedaifan dan segala harta benda dan kekayaan yang mereka peroleh telah musnah akibat daripada peperangan yang terjadi. Berdasarkan novel Salina yang ditulis oleh A. Samad Said, pengarang berjaya menunjukkan kedaifan dan kesempitan hidup yang dialami oleh masyarakat Singapura selepas peperangan terjadi. Pada ketika itu, rakyat Singapura tinggal sehelai sepinggang dan mencari rumah sebagai tempat mereka untuk berlindung memandangkan rumah yang mereka diami hancur ekoran daripada peristiwa hitam itu. Situasi kesempitan hidup ini telah dibuktikan oleh pengarang novel Salina dalam teks yang berikut:
“ Sebanyak lima puluh ringgit telah didahulukan sebagai wang kopi masuk ke rumah itu dan setelah berjanji bersedia membayar dua puluh ringgit setiap bulan dengan waktu pembayarannya ditetapkan, maka baharullah bilik yang beratapkan zing-zing tong minyak, daun rumbia dan kulit-kulit kayu balak dengan berlapiskan tikar-tikar getah yang buruk dan di atasnya pula merayap-rayap liar daun-daun labu yang segar, berdindingkan kayu-kayu, peti susu,zing-zing tong minyak, kulit-kulit balak, kadbod-kadbod serta berlantaikan tanah itu menjadi hak milik sewaannya, tempat mereka berlindung daripada panas dan hujan.”
                                                                                                             (Salina, 1980: 2)
Berdasarkan teks di atas, dapat dilihat bahawa masyarakat pada masa itu sememangnya mengalami kesempitan dan kesusahan hidup. Mereka sanggup tinggal di rumah yang asalnya hanyalah kandang kambing yang telah dibesarkan oleh tuannya menjadi sebuah bilik untuk disewa. Kekurangan bilik atau tempat tinggal pada masa itu menyebabkan mereka tiada pilihan dan terus menyewa di rumah yang serba serbi tidak lengkap itu. Mereka hanya menginginkan tempat tinggal yang mampu melindungi mereka daripada panas dan hujan.
Selain itu selain itu pengarang juga memperlihatkan Salina iaitu watak utama bergelut dalam menjalani kehidupannya. Pada hakikatnya Siti Salina berasal dari keluarga yang kaya raya dan ternama mlah ayahnya merupakan saudagar intan berlian di Singapura. Akibat daripada Perang Dunia Kedua, Siti Salina telah kehilangan keluarganya dan harta benda dan kekasih hatinya Muhammad Yusuf. Oleh itu apabila Salina mengetahui bahawa Hilmy kehilangan ayahnya akibat peperangan, dia lantas teringat akan adiknya yang hampir sama tingkah laku dengan Hilmy.
“Siti Salina terdiam mendengarkan itu, Dia merasakan sesuatu yang memilukan hatinya  sebab dia sendiri tidak mempunyai ayah malah tidak mempunyai seorang pun lagi keluarga yang sedarah dengannya di dalam dunia ini; semuanya menjadi mangsa Perang Dunia Kedua, sewaktu rumahnya yang besar dan cantik itu dihancurkan oleh bom yang kesasaran jatuhnya”.
(Salina, 1961:10)
4.1.2    Kehalobaan dalam Kehidupan
Memandangkan Perang Dunia Kedua di Singapura ini memberikan kesan dan masalah yang besar dalam kehidupan masyarakat ketika itu, menyebabkan berlakunya eksploitasi dan kehalobaan dalam kehidupan. Eksploitasi dan kehalobaan  ini berlaku hanyalah disebabkan oleh kepentingan harta dan kesenangan yang ingin dikecapi oleh individu-individu yang tidak bertanggungjawab. Dalam novel Salina, eksploitasi dan penindasan ini dapat dilihat dalam teks yang berikut:
“Ohooo,” kata Benggali jaga itu:suaranya besar dan penuh kahak ditekaknya. “Berapa itu bilik punya sewa sekarang? Apa sudah naik lagikah?”
“Ya. Sekarang lagi sikit naik. Dulu Paliamah lima orang tinggal, dia punya sewa lapan belas ringgit. Tapi sekarang saya dengan KurupayaSamy kasi naik lagi. Sekarang dua puluh ringgit satu bulan,” kata pekedai India itu sambil menggeleng-gelengkan kepala dan menggosok-gosokkan tapak tangan seperti selalu dibuatnya bila bercakap.
“ Alamak, ini Kurupaya banyak cilaka. Sudah banyak wang, sekarang mahu banyak wang lagi,” kata Benggali jaga itu meludah-ludah sambil pergi duduk pula dijurinya.
“Berapa itu orang tua kasi wang kopi?”
“Lima Puluh ringgit,” kata pekedai India kurus panjang itu sambil masuk semula ke dalam kedainya untuk melayan pembeli lain. Selepas itu dia keluar semula lalu berkata:
“Sekarang lima puluh ringgit orang tak ada kira; orang bayar. Rumah banyak susah mahu dapat. Seratus ringgit pun orang bayar.”
“Ya, ya itu betul. Tapi gasak orang miskin punya wang banyak-banyak tak ada baiklah!” kata Benggali jaga itu.
                                                                                                                   (Salina, 1980: 3)
Berdasarkan teks di atas, dapat dinyatakan bahawa eksploitasi atau penindasan berlaku terhadap golongan miskin. Walaupun pemilik bilik sewa itu mengetahui bahawa orang miskin yang menyewa biliknya, namun disebabkan perasaan tamak haloba dan mementingkan kekayaan menyebabkan dia sanggup menaikkan harga rumah walaupun rumah atau bilik yang disediakan itu hanya sekadar kandang kambing. Orang miskin yang menyewa rumah itu pula tiada pilihan lain memandangkan rumah dan tempat tinggal sukar untuk diperoleh pada masa tersebut. Mereka terpaksa menerima harga sewaan yang tidak setimpal dengan tempat tinggal yang dijanjikan.
Oleh yang demikian, maka jelaslah bahawa orang kaya atau pemilik rumah atau bilik itu telah menindas dan mengeksploitasi orang miskin yang menyewa rumahnya kerana dia sedar bahawa tindakannya tidak akan memberikan apa-apa kesan kepadanya memandangkan orang miskin tersebut sememangnya memerlukan tempat tinggal untuk berlindung. Oleh itu, mereka boleh melakukan tindakan seperti menaikkan harga sewa rumah dengan sewenang-wenangnya memandangkan tiada tindakan yang akan diambil daripada perbuatannya.
4.1.3    Kepincangan dalam Masyarakat
Menurut Kamus Dewan edisi keempat (2010:725), keluarga didefinisikan sebagai seisi rumah tangga yang terdiri daripada suami, isteri dan anak-anak. Bukan sesuatu perkara yang mudah untuk memastikan sesebuah institusi kekeluargaan itu terus bahagia tanpa berlaku sebarang masalah dan perpecahan. Kadang kala, hanya disebabkan oleh sesuatu yang kecil seperti hasutan orang mahupun kepentingan diri sendiri menyebabkan sesebuah institusi perkahwinan itu runtuh. Dalam novel Salina, pengarang juga menunjukkan aspek kepincangan keluarga akibat daripada sikap rakus manusia terhadap kebahagiaan duniawi. Berikut merupakan antara teks yang menunjukkan  kepincangan keluarga akibat daripada sikap rakus manusia terhadap kebahagiaan duniawi.


“Bergaduh dengan siapa?”
“Gaduh dengan Narto. Narto bawa wang sikit dah dua tiga hari ni. Emak marah. Dia mahukan duit lebih banyak lagi. Kata narto beca dah susah nak dapat sewa sekarang ni. Tak macam dulu, beca sikit. Katanya sekarang teksi dah mula banyak. Orang lebih suka naik teksi. Sebab itulah susah nak dapat sewa banyak,” Nadihah menerangkan.
                                                                                                                 (Salina, 1980: 18)
Berdasarkan teks di atas, dapat dilihat bahawa Zarina iaitu ibu angkat kepada Narto sanggup memarahi dan bergaduh dengan Narto hanya kerana Narto tidak memberikan wang yang banyak kepadanya. Selain itu, Zarina juga sanggup memaki hamun dan menghalau Narto yang merupakan anak yang telah lama dijaganya hanya disebabkan oleh harta duniawi. Berdasarkan cerita yang terdapat dalam novel Salina itu, keadaan keluarga menjadi semakin pincang bukan sahaja disebabkan oleh kekurangan wang untuk meneruskan kehidupan. Malah, Zarina juga telah dihasut oleh Fakar, lelaki yang meminati  anak perempuannya iaitu Nahidah dan merasakan bahawa Narto merupakan batu penghalang kepadanya untuk mendapatkan Nahidah. Oleh yang demikian, Fakar telah membina rancangan untuk menghasut Zarina untuk membuang Harto daripada keluarganya agar rancangannya dapat dijalankan dengan mudah. Disebabkan oleh ikatan kekeluargaan yang tidak kuat dan utuh menyebabkan Zarina termakan pujuk rayu dan hasutan Fakar sehinggakan Narto dihalaunya daripada rumah tersebut. Oleh yang demikian, jelaslah bahawa hanya disebabkan tuntukan duniawi, seseorang itu sanggup memecahbelahkan keluarganya sendiri.
4.1.4    Kehidupan Bantu-Membantu dan Mementingkan Ilmu Pengetahuan
Dalam novel Salina ini, dapat dilihat bahawa Salina merupakan seorang watak yang memegang watak sebagai pelacur. Walaupun Salina seorang pelacur, namun dia masih mempunyai sifat yang baik dalam dirinya di mana dia membantu Hilmy iaitu anak jirannya dalam aspek pelajaran. Walaupun Hilmy sekadar anak jiran yang dianggap sebagai adiknya, namun dia telah berusaha membantu Hilmy untuk membiayai pembiayaiannya pelajaran dan bukunya hanya untuk melihat Hilmy berjaya memandangkan nasib yang dialami oleh Hilmy sama sepertinya. Berikut merupakan teks yang menunjukkan tentang kehidupan bersama dan bantu-membantu bagi golongan yang memerlukan.
“ Hilmy jangan susah,” kata Siti Salina menyambung terus, “kakak akan tolong Hilmy. Kalau ada apa-apa kesusahan tentang duit buku seumpamanya, cakaplah kepada kakak. Kakak tahu sekolah orang putih banyak pakai buku dan banyak pakai duit. Cakaplah pada kakak bila sahaja Hilmy perlukan wang sekolah. Kalau kakak ada duit, kakak beri, kalau kakak tak ada kakak tolong carikan,” suara Siti Salina begitu bersungguh-sungguh. Dan Siti Salina juga merasakan bahawa dia tidak berkata-kata kepada orang lain, tetapi kepada adiknya sendiri, adik yang ingin diberinya sebanyak-banyak pelajaran, satu keinginan yang selalu dirasakannya akhir-akhir ini.
                                                                                                                 (Salina, 1980: 84)
Berdasarkan teks di atas maka jelaslah bahawa Siti Salina sanggup untuk membiayai pelajaran dan buku Hilmy hanya kerana merasakan bahawa pelajaran itu sangat penting buat Hilmy. Walaupun pada hakikatnya Siti Salina tidak mempunyai pertalian darah dengan Hilmu dan Kadijah, namun dia tetap membantu masyarakatnya yang memerlukan bantuannya. Hal ni juga mungkin disebabkan oleh kesungguhan Kadijah, emak kepada Hilmy yang bersungguh-sungguh mencari nafkah untuk menanggung dirinya dan Hilmy serta pelajaran Hilmy.  Oleh yang demikian, maka jelaslah bahawa dalam novel Salina ini mempunyai kehidupan bersama dan bantu-membantu golongan yang memerlukan dan juga mementingkan ilmu pengetahuan. Selain itu, kepentingan dalam menuntut ilmu juga dapat dilihat dalam watak kathijah. Walaupun Katijah mengalami kemusnahan hidup setelah Perang Dunia Kedua, dia masih menyekolahkan Hilmy. Malah Hilmy dapat dilihat sebagai pelajar yang pandai kerana mampu bersekolah sekolah Melayu Kota Raja dan berpindah ke sekolah Inggeris Monk’s Hill dan Victoria School secara percuma. Hal ini dapat dilihat pada petikan berikut.
“Memang dari sekolah Melayu dulunya; sesudah sekolah Melayu barulah dihantar ke sekolah Inggeris. Kalau hendak dihantar ke sekolah Inggeris terus saja, siapa yang mampu? Ayahnya bukan ada. Untunglah dapat sekolah free, jawab Katijah menerangkan.”
                                                                                                                   (Salina, 1961:10)

Inilah antara pemikiran atau mesej dan isi yang ingin disampaikan oleh pengarang dalam novel Salina. Namun yang demikian, masih banyak lagi isi dan mesej yang ingin disampaikan oleh pengarang. Oleh yang demikian , pembaca perlulah menelusuri. Novel ini bagi memperoleh semua isi dan mesej serta pemikiran yang ingin disampaikan oleh pengarang kepada pembaca. Sekiranya pembaca melakukan pembacaan sepenuhnya, pasti akan memperoleh pelbagai mesej daripada pengarang yang dapat menjadi panduan dan pedoman dalam meneruskan kehidupan yang sebenar.