Wednesday, 25 May 2016

Pandangan Hidup dalam Novel Salina

Kamus Dewan Edisi Keempat (2010) mendefinisikan istilah ‘pandangan’ kepada beberapa maksud iaitu hasil perbuatan memandang, apa-apa yang terlihat (tergambar) di mata hasil daripada perbuatan memandang, apa-apa yang menjadi perhatian dan juga bermaksud anggapan. Istilah ‘hidup’ pula mempunyai terlalu banyak maksud, namun dalam konteks ini, istilah ‘hidup’ sesuai didefinisikan sebagai keadaan yang sebenarnya atau dilihat (lukisan, cerita dan lain-lain). Apabila dua istilah ini disatukan menjadi pandangan hidup, maka dapatlah difahami bahawa ‘pandangan hidup’ merujuk kepada ‘anggapan terhadap keadaan yang sebenarnya atau dilihat’. 
Menurut Mohd Rashid Md. Idris, Abdul Rahman Napiah dan Seri Lanang Jaya (2014), konsep pandangan hidup secara umumnya mengenai pandangan hidup alam semesta secara keseluruhan terutamanya dilihat melalui satu sudut pandangan yang dipengaruhi oleh satu sistem nilai yang tertentu. Selain itu, mereka turut berpendapat bahawa pandangan hidup merupakan suatu konsep yang dimiliki oleh masyarakat atau komuniti tertentu, bertujuan untuk menanggapi dan menerangkan segala permasalahan yang berkaitan dengan Tuhan, manusia dan alam. Setiap masyarakat, khususnya orang Melayu mempunyai pandangan hidup yang lazimnya melibatkan hubungan manusia dengan Tuhan, alam dan hubungan sesama manusia serta terperinci kepada tiga bahagian iaitu bahagian keluarga, pemimpin dan masyarakat.


                        4.6.1    Amalan Pantang Larang
Masyarakat pada zaman novel Salina masih mempercayai dan mengamalkan pantang larang dalam hidup mereka. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2010), pantang larang merupakan sesuatu perkara yang dilarang untuk melakukannya berikutan adat dan kepercayaan sesebuah masyarakat. Pantang larang ini sudah diamalkan sejak turun-temurun sehingga kini. Kabanyakkan pantang larang tersebut diamalkan bagi memelihara tingkah laku anggota masyarakatnya. Berdasarkan novel Salina terdapat pantang larang yang diamaalkan oleh masyarakat Melayu yang ditonjolkan oleh penulis seperti berikut:
“Tak baik menyabung kaki tahu?” kata ibunya menegurnya sambil terbatuk-batuk kecil. Hilmi mendongak, tersenyum alalu bertanya, “Mak percaya?”
“Pasal apa pula tak percaya? Orang-orang dulu cakap,” jawab ibunya dengan tidak memandang Hilmy. Hilmy tersenyum lagi, dan berkata, “Jadi kalau Hilmy menyabung kaki, emak Hilmy akan matilah, ya?”
“Mmmmmmm,mmm,” kata Katijah sambil mengangguk-anggukkan kepalanya.
“Kalau Hilmy tidak menyabung kaki maka tak matilah?” tanya Hilmy; dari air mukanya yang nyata benar dinantinya jawapan ibunya.
Katijah diam sahaja. Memang selalu anaknya bertanya begitu, dan bila pertanyaan serupa itu dikemukakan kepadanya, dia sentiasa menjawab sebaik-baiknya.”
(Salina, 1961:190)
       
Berdasarkan contoh petikan di atas, masayarakat Melayu pada zaman itu masih mengamalkan pantang larang menyabung kaki. Hakikatnya, perbuataan sebegitu dianggap kurang sopan khususnya kepada anak gadis. Hal ini demikian kerana, pada zaman itu, anak gadis memakai kain batik atau sarung yang akan menyebabkan kainnya terselak apabila anak gadis menyabung kaki. Oleh sebab itu, perbuataan ini dianggap sebagai larangan mahupun kepada lelaki kerana lelaki tersebut akan berkeluarga nanti. Oleh itu, pantang larang ini diamalkan sejak turun-temurun bagi memelihara tingkah laku manusia supaya sentiasa menjaga adab sopan walaupun di rumah.


                        4.6.2    Amalan Kepercayaan Karut
Kepercayaan karut turut diamalkan oleh masayarakat Melayu dalam novel Salina. Kepercayaan karut ini juga turut diamalkan sejak turun-temurun sehingga kini. Kepercayaan ini diamalkan berdasarkan latar masyarakat dan tempat dalam sesebuah karya. Masyarakat Melayu semasa zaman Siti Salina merupakan antara masyarakat yang terdiri daripada golongan miskin dan tinggal di kampung yang masih jauh daripada perkembangan pembangunan. Penulis memasukkan kepercayaan masyarakat terhadap bunyi salakan anjing yang akan membawa berita baik merupakan contoh kepercayaan karut yang diamalkan oleh masyarakat Melayu ketika itu:
“Suara anjing menyalak kedengaran; suara lima ekor anjing. Selalunya begitulah di Kampung Kambing kalau ada orang pulang malam-malam. Salakan anjing menjadi isyarat yang baik – memberitahu kedatangan seseorang ke Kampung Kambing walaupun di luar kampung itu ataupun di dalamnya, sama ada orang datang itu orang kampung Kambing, orang yang tinggal di berek P.W.D ataupun orang yang tinggal di tempat lain tetapi datang ke situ.”
(Salina, 1961:198)

Kepercayaan-kepercayaan karut sepatutnya dikikis dan dihapuskan dalam minda seseorang. Hal ini akan menyebabkan pemikiran seseorang itu akan berada di takuk yang lama dengan menentukan baik buruk sesuatu peristiwa berdasarkan sesuatu peristiwa yang tidak masuk akal.


                        4.6.3    Pandangan Serong Terhadap Pekerjaan Pelayan
Pandangan serong merangkumi persepsi negatif atau tidak elok kepada sesuatu perkara. Pandangan serong ini lazimnya berlaku rentetan daripada kejadian atau peristiwa sumbang yang dilakukan oleh sesetengah pihak atau tingkah laku yang tidak elok sehingga pandangan negatif diberikan. Merujuk novel Salina ang dikaji, pandangan hidup masyarakat yang dapat dikenal pasti ialah pandangan serong sesetengah masyarakat terhadap pekerjaan sebagai pelayan.
Hal ini demikian kerana, pengarang telah menyelitkan pekerjaan sebagai pelayan sebagai pekerjaan dominan kaum wanita di Kampung Kambing. Namun begitu, sesetengah masyarakat di kawasan tersebut memandang rendah terhadap pekerjaan tersebut dengan beranggapan bahawa pekerjaan tersebut keji dan jijik. Berikut merupakan contoh petikan novel yang menggambarkan pandangan hidup sedemikian:

“kau tau,“ kata Cik Salim bila dia fikir sendiri sudah mula merasa puas, “jangan kaufikir jadi pelayan kau endah melayan dari jauh saja hah, hah? Pelayan bukan gitu, tau? Pelayan datang melayan dekat-dekat. Pelayan duduk dekat orang yang dilayannya. Pelayan duduk di atas pangkuan orang. Pelayan ikut saja cakap orang yang dilayannya, tau?
(Salina, 1961:300)

Berdasarkan keratan petikan novel tersebut dapat dilihat bahawa pandangan hidup sesetengah masyarakat pada ketika itu yang memandang keji terhadap pekerjaan sebagai pelayan. Hal ini demikian kerana, mereka meletakkan tanggapan bahawa pekerjaan pelayan hanya bekerja untuk melayan orang lain atau pengunjung dari segi zahir dan batin. Kesannya, pelayan dianggap seperti murahan dan tidak bermaruah kerana terlibat dengan pekerjaan sedemikian.


                        4.6.4    Pentingnya Menjaga Maruah Diri
Dalam novel Salina, abang Nahidah, iaitu Mansur sering menasihati Nahidah supaya sentiasa menjaga maruah dan nama baiknya kerana bagi Mansur tiada yang lebih berharga di dalam dunia ini melainkan nama baik dan maruah diri. Contoh peristiwa boleh dilihat di bawah:
Abangnya suka, bercakap kepadanya tentang beberapa hal, bercakap sekali tentang rancangannya selepas habis sainnya dengan sojar itu, dan meminta sekali lagi supaya adiknya itu menjaga dirinya baik-baik, mengingatkan bahawa tidak ada yang lebih berharga di dalam dunia ini selain meninggalkan nama yang baik.
                                                                                                            (Salina, 1961: 435)
Berdasarkan contoh petikan di atas, Mansur sangat menyayangi adiknya, Nahidah dan sentiasa menasihati adiknya supaya meninggalkan pekerjaan sebagai pelayan. Walaupun Mansur mengetahui bahawa adiknya terpaksa bekerja sebagai pelayan kerana ibu tirinya, Mansur sentiasa berpesan kepada Nahidah supaya menjaga maruah dirinya dan tidak terlanjur melayani lelaki-lelaki di tempat kerjanya walaupun dibayar dengan harga yang tinggi. Hal ini kerana harga diri merupakan benda yang tidak ternilai yang dimiliki oleh semua manusia. Oleh sebab itu, kita seharusnya menjaga harga diri seperti kita menjaga nyawa kita. Harga diri memperlihatkan perlakuan atau perangai yang dimiliki oleh seseorang sama ada baik atau buruk.



5.0       Kesimpulan
Kesimpulannya, novel Salina sangat layak untuk dianggap sebagai sebuah karya agung yang unggul kerana kandungannya yang mengandungi nilai estetika yang tinggi dari aspek kepengarangannya. Aspek-aspek yang telah ditemui oleh pengkaji dalam novel ini telah memperlihatkan kebolehan dan keunggulan pengarang dalam menyampaikan mesej dan pemikirannya kepada khalayak pembaca. Aspek-aspek sebuah karya yang unggul seperti mesej, budaya, nilai, pandangan hidup, ilmu dan estetika dan kepengarangan dalam novel ini jelas memperlihatkan idealisme A. Samad Said ketika berkarya. Karya-karya sebegini perlu diteruskan oleh pengarang-pengarang zaman ini supaya dapat meneruskan kegemilangan dalam bidang kesusasteraan Melayu.


No comments:

Post a Comment