Kamus Dewan Edisi Keempat (2010)
mendefinisikan ilmu sebagai pengetahuan dalam perkara dunia, akhirat, zahir,
batin dan lain-lain. Hal ini bermaksud ilmu sangat berkait rapat dengan
pemerolehan sesuatu pengetahuan dan berkaitan dengan usaha kita menyebarkannya
kepada orang lain dalam bentuk pelbagai maklumat. Sebenarnya yang dikatakan
ilmu ini mempunyai pelbagai fungsi. Antaranya adalah untuk menyebarkan ilmu
pengetahuan yang boleh digunakan untuk menyelesaikan sesuatu masalah, membuat
keputusan dan mengembangkan lagi perkara yang mengandung kemusykilan.
Kandungan
karya-karya agung moden tentunya mempunyai pelbagai ilmu yang sangat signifikan
dengan kehidupan masyarakat Melayu pada zaman moden. Penelitian terhadap
karya-karya agung moden membolehkan kita
mengetahui dan memahami ilmu masyarakat pada zaman tersebut secara dalam. Dalam
karya agung khususnya dalam Novel Salina oleh A. Samad Said, ilmu dan maklumat
yang dikaji adalah seperti ilmu pertukangan, ilmu ketenteraan, ilmu agama dan
ilmu bahasa.
4.2.1 Ilmu Pertukangan
Ilmu pertukangan ialah ilmu yang
berkaitan dengan kepandaian seseorang dalam pekerjaan tangan, (Kamus Dewan Edisi
Keempat: 1724). Kerja-kerja yang berkaitan dengan pertukangan adalah seperti
kerja yang dilakukan oleh Salina dalam novel tersebut. Salina telah menukarkan
atap yang bocor kerana tuan rumah, iaitu Kurupaya Samy tidak mahu membaiki atap
di rumah tersebut. Hal ini disebabkan oleh sikap Kurupaya yang mahu mengaut
keutungan di atas kesusahan orang lain. Oleh itu, Salina telah membaiki
kerosakan tersebut. Berikut merupakan contoh petikan yang telah diambil
daripada novel Salina.
“Dah tak
bocor sekarang. Dah kak betulkan. Kalau
tidak dulu bocor juga macam rumah Hilmy itu, “ Siti Salina menjawab.
(Salina,
1961:42)
“Rumah kak
tak payah dibetulkan atapnya tadi. Semuanya dah kakak betulkan. Di bawahnya
kakak taruh syiling.”
(Salina, 1961:44)
Berdasarkan
petikan tersebut, maka jelaslah bahawa masyarakat pada zaman moden ini mahir
dalam ilmu pertukangan. Ilmu pertukangan telah dipaparkan melalui watak utama
dalam novel ini iaitu watak Salina. Melihat dari sudut falsafah, pengarang cuba
menyelitkan mesej betapa pentingnya ilmu pertukangan dalam kehidupan seharian.
4.2.2 Ilmu
Ketenteraan
Ilmu ketenteraan merupakan salah satu
ilmu yang terkandung dalam novel Salina. Secara umumnya, ilmu ketenteraan
membawa maksud ilmu yang berkaitan dengan perihal tentera dan hal-hal yang
berkaitan dengan peperangan. Pengarang telah memasukkan nilai ilmu ketenteraan
dalam novel Salina secara tidak langsung. Hal ini demikian kerana
peristiwa-peristiwa yang melibatkan peperangan tidak berlaku secara nyata dalam
jalan cerita novel ataupun dialami oleh watak Salina sepanjang plot novel.
Penulis lebih cenderung menggunakan tema peperangan yang merupakan antara
pengalaman beliau sendiri. Pengalaman tersebut kemudiannya dimasukkan dalam
penulisan novel Salina. Walau bagaimanapun, ilmu ketenteraan ini hanya
diceritakan secara asas sahaja seperti latihan-latihan yang dijalani oleh
anggota tentera, seperti yang dialami oleh watak kekasih Salina, iaitu Muhammad
Yusup. Berikut merupakan petikan yang telah diambil daripada novel Salina.
“Saya dan kawan-kawan lain akan dibawa ke suatu tempat yang masih belum
diketahui lagi di mana. Khabarnya kamu akan belajar menggunakan senjata (tidak
lagi belajar cara mengikat bandage dan merawat luka!) Saya dan kawan-kawan lain
akan belajar pula cara hendak menggunakan senjata untuk membunuh manusia yang
menjadi musuh.”
(Salina,
1961:184-185)
Petikan di
atas merupakan dialog yang terdapat dalam novel Salina melalui perbualan watak
Muhammad Yusup dan Salina. Berdasarkan petikan tersebut, jelaskan bahawa ilmu
ketenteraan wujud dalam cerita ini yang mewakili situasi sebenar kehidupan
masyarakat pada zaman tersebut, zaman moden.
4.2.3 Ilmu
Agama
Ilmu agama merupakan salah satu nilai
ilmu yang seharusnya ada pada setiap karya agung tidak kiralah karya agung
moden atau karya agung klasik. Secara umumnya, ilmu agama meliputi ilmu tentang
keduniaan serta alam akhirat. Hal ini demikian kerana, dalam agama Islam
sendiri, ilmu agama merangkumi peraturan-peraturan serta adab-adab yang perlu
dipatuhi atau dihindari oleh penganutnya.
Dalam karya
Salina pula, nilai ilmu agama dapat dilihat apabila pengarang menyelitkan
kepakaran golongan masyarakat yang mahir dalam ilmu agama. A. Samad Said telah
mewujudkan satu watak yang terkenal dengan ilmu agamanya dan sering menyebarkan
ilmu tersebut kepada masyarakat setempat. Berikut merupakan contoh petikan yang
telah diambil daripada novel Salina.
“Apa yang
terdaya olehnya hanyalah memberi nasihat dan beberapa petua, mengeluarkan
beberapa ayat Al- Quran yang menunjukkan kecelakaan memandang keduniaan belaka,
dan menunjukkan kebahagian memandang ke dunia belaka, beramal dan beriadat,
mengenal Tuhan dari dekat, mengenal agama dari dekat, dan mengamalkan suruhan
Tuhan setiap hari.”
(Salina, 1961:268)
Berdasarkan
petikan tersebut, dapatlah disimpulkan bahawa ilmu agama, khususnya agama Islam
wujud dalam kalangan masyarakat dalam novel Salina. Masyarakat pada zaman ini
cukup disajikan dengan ajaran-ajaran agama bagi membolehkan mereka lebih dekat
dengan Pencipta.
4.2.4 Ilmu
Bahasa
Ilmu bahasa merupakan ilmu yang
berkaitan bahasa yang digunakan oleh sesuatu masyarakat sama ada secara lisan
atau penulisan. Kebiasaannya suatu kelompok masyarakat menggunakan bahasa
Ibunda sebagai seharian mereka. Namun tidak dinafikan bahawa terdapat
segelintir masyarakat yang sudah tahu berbahasa dalam bahasa asing seperti
bahasa Inggeris, bahasa Cina dan sebagainya.
Dalam karya Salina,
pengarang telah menggunakan bahasa Inggeris sebagai salah satu bahasa pada
zaman tersebut. Hal ini ditonjolkan melalui pengajaran di sekolah. Bahasa
Inggeris telah digunakan oleh guru bahasa Inggeris, iaitu Miss Mirian Kamala
yang mengajar Hilmy semasa melanjutkan pelajarannya di Special Malay Class
salah satu Darjah Sekolah Melayu. Hilmy telah dihantar oleh ayahnya ke sekolah
Inggeris setelah tamat darjah lapan di Sekolah Melayu Kota Raja, sekolah
Inggeris, dan Victoria Institution.
Guru itu menerangkan
segala-galanya tentang tempat-tempat di dalam kawasan sekolah itu dalam bahasa
Inggeris. “This is the headmasters’s
office”, “And this is the teacher’s common room, “That is the tuckshop”
dan “And there is your smelly lateries,
“kata guru perempuan bercermin mata tebal… (Salina,
1961:54)
Petikan di
atas menunjukkan salah satu contoh bahawa ilmu bahasa khususnya bahasa Inggeris
wujud dalam kalangan masyarakat novel Salina. Pengarang cuba menerangkan bahawa
masyarakat pada zaman tersebut sudah terdedah dengan ilmu bahasa daripada
bangsa lain. Dari segi nilai falsafahnya adalah pengarang menjelaskan
masyarakat pada zaman tersebut agak bijak dan tidak ketinggalan zaman.
No comments:
Post a Comment