Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat
(2010 : 406), falsafah didefinisikan sebagai pengetahuan tentang pengertian
yang dianggap sebagai ilmu yang tertinggi yang menjadi dasar ilmu-ilmu lain. Perkataan
falsafah berasal daripada bahasa Yunani philisophia, iaitu philo ertinya cinta
dan Sophia ertinya hikmat (Mohd Rashid Md Idris, 2012:1). Cinta kepada ilmu dan
kebenaran adalah falsafah.Hal ini bermaksud falsafah mempunyai ciri-ciri
seperti pemikiran yang tertinggidan bertujuan mendapatkan kebenaran.
Mana Sikana
(1996), membahagikan bidang falsafah kepada enam jenis iaitu ilmu teologi, ilmu
etika, ilmu estetika, ilmu mantik, ilmu metafizika dan ilmu kosmologi. Ilmu
teologi ialah ilmu yang berkisar tentang Tuhan dan hubungannya dengan manusia,
sama ada berdasarkan kebenaran wahyu ataupun penyelidikan akal murni. Ilmu
etika pula berkaitan dengan tingkah laku manusia yang dilihat dari sudut baik
dan buruknya, sejauh yang dapat ditentukan akal. Ilmu estetika membahaskan
tentang keindahan dan kesenian.
Ruang lingkup
estetika merangkumi hal-hal yang berkaitan dengan sedih dan lucu, yang bergaya
dan yang mulia, bahkan yang buruk atau busuk pun dapat dikaitkan dengan
keindahan yang relative. Manakala, ilmu
mantik adalah ilmu berkata benar atau berfikir benar.Al- Farabi menyatakan ilmu
yang mantik adalah ilmu yang memberi tenaga fikiran dan kemampuan membezakan
sesuatu yang merupakan alat falsafah. Ilmu metafizika merupakan ilmu agama
seperti kepercayaan tentang kewujudan Tuhan dan yang terakhir ialah ilmu
kosmologi yang mengkaji tentang hal-hal yang berhubung dengan alam.
4.3.1 Falsafah
Sosial
Sosial ialah gambaran kehidupan
realiti manusia. Realiti kehidupan telah diketengahkan oleh pengarang di dalam
novel Salina yang telah memaparkan gambaran sebenar golongan masyarakat yang
menjadi mangsa perang dunia kedua sehingga membawa kesengsaraan dan kemiskinan
kepada mereka dan ada segelintir golongan masyarakat yang terlibat dengan
kehidupan yang tidak sihat. Pengarang telah mengetengahkan bentuk sosial yang
bersifat realisme, iaitu cerminan budaya masyarakat pada ketika itu.
Dalam novel Salina
ini, dapat dilihat kehidupan masyarakat
yang berada dalam kesusuahan seperti penduduk di Kampung Kambing sangat daif
sehinggakan keperluan air perlu dicuri-curi ambil dari bangunan berek pejabat
kerajaan yang terletak berdepan dengan kampung tersebut. Rumah-rumah mereka
pula sebenarnya kandang kambing yang telah diubah suai sebagi rumah setinggan
dan ia merupakan deretan bilik yang disewa oleh tuan kandang kambing tersebut.
Manakala penghuni-penghuninya pula kebanyakkan sisa-sisa ledekan perang dunia
kedua yang telah hilang kaum keluarga, kerja dan tempat bergantung. Keadaan
perang yang melanda menyebabkan masyarakat mengalami penderitaan hidup untuk
menjalani kehidupan seharian mereka terutamanya dalam masalah tempat tinggal.
“rumah-rumah
kandang kambing itu semuanya tidak sempurna. Dindingnya terbuat dari
papan-papan peti susu yang buruk dan berbulu-bulu, kulit-kulit kayu balak yang
tebal dan bercendawan, zink-zink tong minyak berkarat yang sudah dileperkan (tetapi
masih kemik di sana sini) dan kadbod-kadbod yang sudah berbulu dan
berbelang-belang oleh resapan air hujan,”
(Salina, 1961:3)
Petikan di
atas menunjukkan kedaifan yang dihadapi oleh Salina apabila dia terpaksa
menyewa kandang kambing sebagai tempat untuk berlindung. Keadaan rumah yang
agak buruk dan busuk yang dijadikan tempat berlindung menunjukkan bahawa sosial
masyarakat selepas perang berada dalam kedaifan seperti yang diketengahkan
olleh pengarang seperti teks di atas. Jadi jelaslah bahawa, keadaan sosial
masyarakat selepas perang membawa kepada kesengsaraan kepada masyarakat.
4.3.2 Falsafah
Etika
Etika ialah pemikiran tentang moral,
pendidikan dan pengajaran. Berdasarkan dalam novel Salina, falsafah etika dapat
dilihat melalui ilmu pengetahuan yang masih menjadi keutamaan dalam
masyarakatnya. Novel Salina ini menunjukkan bahawa pendidikan tetap menjadi
keutamaan bagi masyarakat walaupaun mengalami penderitaan hidup. Ilmu
pengatahuan menjadi pegangan utama sebagai penyuluh hidup untuk masyarakat bergerak
maju ke hadapan. Sebagai contoh dapat dilihat seperti teks berikut:
Memang dari sekolah Melayu dulunya;
sesudah sekolah Melayu barulah dihantar ke sekolah Inggeris. Kalau hendak
dihantar ke sekolah Inggeris terus saja, siapa yang mampu? Ayahnya bukan ada.
Untunglah dapat sekolah free, jawab Katijah menerangkan.
(Salina, 1961:10)
Petikan di
atas menunjukkan keadaan Katijah yang mengalami
kemusnahan hidup setelah Perang Dunia Kedua, namun dia masih mampu
menyekolahkan Hilmy malah Hilmy dapat dilihat sebagai pelajar yang pandai
kerana mampu bersekolah di sekolah Melayu Kota Raja dan berpindah ke sekolah
Inggeris Monk’s Hill dan Victoria School secara percuma. Kesusahan hidup yang
dialami oleh Katijah tidak menghalang untuk menghantar anaknya untuk menuntut
ilmu. Pendidikan menjadi keutamaan bagi Katijah kerana pendidikan dapat
mengubah kehidupan mereka pada masa akan datang. Jadi jelaslah bahawa ilmu
pengetahun merupakan aspek yang ditekankan oleh masyarakat pada katika itu.
Selain itu,
falsafah etika dapat ditunjukkan melalui peranan kaum wanita sebagai pelayan. Pekerjaan
sebagai pelayan dalam kalangan golongan wanita begitu dominan pada zaman
perang. Pekerjaan tersebut merupakan salah satu sumber pencarian rezeki pada
ketika itu untuk meneruskan kehidupan seharian mereka. Melalui novel Salina
ini, dapat memperlihatkan watak wanita yang bekerja sebagai seorang pelayan. Dalam
novel ini, memperlihatkan watak Zarina dan Nahidah. Zarina merupakan ibu tiri
kepada Nahidah dan bekerja sebagai seorang pelayan untuk menyara hidupnya.
“Mak dah pun carikan kerja untuk
kau,” kata Zarina mendekat ke maksud utamanya. “Kerja tu dah pun mak dapatkan,
cuma tunggu jawapan dari kau saja. Mak harap benar kau mahu bekerja.”
(Salina,1961:162)
Petikan di atas, Zarina telah
mencarikan pekerjaan kepada anak tirinya iaitu Nahidah sebagai pelayan. Menurut
Zarina pekerjaan sebagai pelayan akan mendapat segala kemewahan hidup seperti
pakaian, tempat tinggal dan sebagainya. Zarina juga turut menceritakan kehidupan
dia yang sebelum ini semasa menjadi pelayan yang memperolehi kemewahan hidup.
Pekerjaan sebagai pelayan pada ketika itu dapat mengubah kehidupan masyarakat
pada ketika itu dan menjadi sumber
rezeki dalam menjalani kehidupan seharian.
4.3.3 Falsafah
Ekonomi
Ekonomi ialah sistem pendapatan dan
pengurusan harta benda. Falsafah ekonomi selepas perang dunia kedua yang paling
ketara dapat ditunjukkan apabila kaum perempuan bekerja sebagai pelayan. Zarina
merupakan ibu tiri kepada Nahidah memaksa Nahidah menjadi pelayan untuk menyara
keluarganya. Falsafah ekonomi selepas perang dunia kedua yang paling ketara
dapat ditunjukkan apabila kaum perempuan bekerja sebagai pencuci pinggang. Melalui
novel Salina, kita dapat melihat watak seorang ibu tunggal, iaitu Katijah yang
terpaksa bekerja sebagai tukang cuci di empat buah rumah orang inggeris demi
menyara anaknya yang sedang belajar, iaitu Hilmy. Sebagai contoh seperti teks berikut:
“Bukan kerja apa-apa; cuma cuci kain
dan baju saja,” Katijah menerangkan. “Hari ni kakak cuci kain baju di rumah
Nyonya Swee Kim dan Encik Burhan. Esok cuci di rumah orang lain pula. Begitu
bergilir-gilir. Kalau tak begitu manalah nak dapat duit,” Katijah memandang
Hilmy dan berkata, “nak harapkan budak ni, kurang-kurang kena tunggu dua tiga
tahun lagi…
(Salina, 1961:
38)
Petikan di
atas menunjukkan Katijah terpaksa bekerja sebagai pencuci pinggang untuk
menyara kehidupan mereka. Pekerjaan tersebut merupakan punca pendapatan utama
Katijah dan hasil pekerjaan tersebut dia dapat menghantar anaknya iaitu Hilmy
ke sekolah untuk menuntut ilmu. Keadaan ekonomi masyarakat tersebut berada pada
tahap yang rendah kerana mereka terpaksa bekerja pelbagai pekerjaan untuk
menyara kehidupan.Hal ini jelas terbukti melalui watak Zarina yang telah
menggunakan kesempatan kecantikan anaknya iaitu Nahidah untuk bekerja sebagai
pelayan. Zarina merupakan ibu tiri kepada Nahidah memaksa Nahidah menjadi
pelayan untuk menyara keluarganya. Jadi jelaslah pelbagai pekerjaan terpaksa
dilakukan oleh masyarakat pada ketika itu untuk menyara kehidupan seharian
mereka.
No comments:
Post a Comment