4.1 Pemikiran
Menurut Kamus Dewan Edisi
Keempat (2010:411), pemikiran dapat didefinisikan sebagai perihal berfikir.
Dalam bidang sastera pula, pemikiran ini selalunya dimulakan dengan idea yang
diperoleh oleh pengarang yang kemudiannya diolah oleh pengarang sehingga
menjadi sebuah karya atau buah fikiran yang bernas. Secara mudahnya, pemikiran
dapat dikaitkan dengan perkara utama atau tema dan persoalan yang ingin
disampaikan dalam sesebuah karya. Selain itu, pemikiran juga dapat dikaitkan
dengan mesej yang ingin disampaikan oleh pengarang kepada pembaca dalam
sesebuah karya. Pemikiran dalam Novel Salina ini telah diskopkan kepada
beberapa bahagian yang lebih kecil yang merangkumi pemikiran kesempitan hidup
dalam meneruskan kehidupan akibat tragedi Perang Dunia Kedua, eksploitasi
golongan kaya terhadap golongan miskin, kepincangan keluarga akibat daripada
sikap rakus manusia terhadap kebahagiaan duniawi dan kehidupan bersama dan
sikap bantu-membantu bagi golongan yang memerlukan.
4.1.1 Keperitan hidup selepas Perang Dunia
Kedua
Perang Dunia Kedua
sememangnya memberikan kesan yang sangat besar
dalam jiwa masyarakat dunia. Bagi masyarakat Singapura, peperangan yang
berlaku antara Jepun dengan Singapura memberikan kesan yang mendalam di mana
pengakhiran peperangan tersebut menunjukkan bahawa Singapura telah jatuh ke
tangan Jepun. Hal ini menyebabkan rakyat Singapura hidup dalam keadaan kedaifan
dan segala harta benda dan kekayaan yang mereka peroleh telah musnah akibat
daripada peperangan yang terjadi. Berdasarkan novel Salina yang ditulis oleh A.
Samad Said, pengarang berjaya menunjukkan kedaifan dan kesempitan hidup yang
dialami oleh masyarakat Singapura selepas peperangan terjadi. Pada ketika itu,
rakyat Singapura tinggal sehelai sepinggang dan mencari rumah sebagai tempat
mereka untuk berlindung memandangkan rumah yang mereka diami hancur ekoran
daripada peristiwa hitam itu. Situasi kesempitan hidup ini telah dibuktikan
oleh pengarang novel Salina dalam teks yang berikut:
“ Sebanyak
lima puluh ringgit telah didahulukan sebagai wang kopi masuk ke rumah itu dan
setelah berjanji bersedia membayar dua puluh ringgit setiap bulan
dengan waktu pembayarannya ditetapkan, maka baharullah bilik yang beratapkan
zing-zing tong minyak, daun rumbia dan kulit-kulit kayu balak dengan
berlapiskan tikar-tikar getah yang buruk dan di atasnya pula merayap-rayap liar
daun-daun labu yang segar, berdindingkan kayu-kayu, peti susu,zing-zing tong
minyak, kulit-kulit balak, kadbod-kadbod serta berlantaikan tanah itu menjadi
hak milik sewaannya, tempat mereka berlindung daripada panas dan hujan.”
(Salina, 1980: 2)
Berdasarkan teks di atas,
dapat dilihat bahawa masyarakat pada masa itu sememangnya mengalami kesempitan
dan kesusahan hidup. Mereka sanggup tinggal di rumah yang asalnya hanyalah
kandang kambing yang telah dibesarkan oleh tuannya menjadi sebuah bilik untuk
disewa. Kekurangan bilik atau tempat tinggal pada masa itu menyebabkan mereka
tiada pilihan dan terus menyewa di rumah yang serba serbi tidak lengkap itu.
Mereka hanya menginginkan tempat tinggal yang mampu melindungi mereka daripada
panas dan hujan.
Selain itu selain itu pengarang juga memperlihatkan Salina iaitu watak
utama bergelut dalam menjalani kehidupannya. Pada hakikatnya Siti Salina
berasal dari keluarga yang kaya raya dan ternama mlah ayahnya merupakan
saudagar intan berlian di Singapura. Akibat daripada
Perang Dunia Kedua, Siti Salina telah kehilangan keluarganya dan harta benda
dan kekasih hatinya Muhammad Yusuf. Oleh itu apabila Salina mengetahui bahawa
Hilmy kehilangan ayahnya akibat peperangan, dia lantas teringat akan adiknya
yang hampir sama tingkah laku dengan Hilmy.
“Siti Salina terdiam
mendengarkan itu, Dia merasakan sesuatu yang memilukan hatinya sebab dia sendiri tidak mempunyai ayah malah
tidak mempunyai seorang pun lagi keluarga yang sedarah dengannya di dalam dunia
ini; semuanya menjadi mangsa Perang Dunia Kedua, sewaktu rumahnya yang besar
dan cantik itu dihancurkan oleh bom yang kesasaran jatuhnya”.
(Salina, 1961:10)
4.1.2 Kehalobaan dalam Kehidupan
Memandangkan Perang Dunia
Kedua di Singapura ini memberikan kesan dan masalah yang besar dalam kehidupan
masyarakat ketika itu, menyebabkan berlakunya eksploitasi dan kehalobaan dalam
kehidupan. Eksploitasi dan kehalobaan
ini berlaku hanyalah disebabkan oleh kepentingan harta dan kesenangan
yang ingin dikecapi oleh individu-individu yang tidak bertanggungjawab. Dalam
novel Salina, eksploitasi dan penindasan ini dapat dilihat dalam teks yang
berikut:
“Ohooo,”
kata Benggali jaga itu:suaranya besar dan penuh kahak ditekaknya. “Berapa itu
bilik punya sewa sekarang? Apa sudah naik lagikah?”
“Ya.
Sekarang lagi sikit naik. Dulu Paliamah lima orang tinggal, dia punya sewa
lapan belas ringgit. Tapi sekarang saya dengan KurupayaSamy kasi naik lagi.
Sekarang dua puluh ringgit satu bulan,” kata pekedai India itu sambil
menggeleng-gelengkan kepala dan menggosok-gosokkan tapak tangan seperti selalu
dibuatnya bila bercakap.
“ Alamak,
ini Kurupaya banyak cilaka. Sudah banyak wang, sekarang mahu banyak wang lagi,”
kata Benggali jaga itu meludah-ludah sambil pergi duduk pula dijurinya.
“Berapa itu orang tua kasi wang kopi?”
“Lima
Puluh ringgit,” kata pekedai India kurus panjang itu sambil masuk semula ke
dalam kedainya untuk melayan pembeli lain. Selepas itu dia keluar semula lalu
berkata:
“Sekarang
lima puluh ringgit orang tak ada kira; orang bayar. Rumah banyak susah mahu
dapat. Seratus ringgit pun orang bayar.”
“Ya, ya
itu betul. Tapi gasak orang miskin punya wang banyak-banyak tak ada baiklah!”
kata Benggali jaga itu.
(Salina, 1980: 3)
Berdasarkan teks di atas, dapat dinyatakan bahawa eksploitasi atau
penindasan berlaku terhadap golongan miskin. Walaupun pemilik bilik sewa itu
mengetahui bahawa orang miskin yang menyewa biliknya, namun disebabkan perasaan
tamak haloba dan mementingkan kekayaan menyebabkan dia sanggup menaikkan harga
rumah walaupun rumah atau bilik yang disediakan itu hanya sekadar kandang
kambing. Orang miskin yang menyewa rumah itu pula tiada pilihan lain
memandangkan rumah dan tempat tinggal sukar untuk diperoleh pada masa tersebut.
Mereka terpaksa menerima harga sewaan yang tidak setimpal dengan tempat tinggal
yang dijanjikan.
Oleh yang demikian, maka jelaslah bahawa orang kaya atau pemilik rumah
atau bilik itu telah menindas dan mengeksploitasi orang miskin yang menyewa
rumahnya kerana dia sedar bahawa tindakannya tidak akan memberikan apa-apa
kesan kepadanya memandangkan orang miskin tersebut sememangnya memerlukan
tempat tinggal untuk berlindung. Oleh itu, mereka boleh melakukan tindakan
seperti menaikkan harga sewa rumah dengan sewenang-wenangnya memandangkan tiada
tindakan yang akan diambil daripada perbuatannya.
4.1.3 Kepincangan dalam Masyarakat
Menurut Kamus Dewan edisi
keempat (2010:725), keluarga didefinisikan sebagai seisi rumah tangga yang
terdiri daripada suami, isteri dan anak-anak. Bukan sesuatu perkara yang mudah
untuk memastikan sesebuah institusi kekeluargaan itu terus bahagia tanpa
berlaku sebarang masalah dan perpecahan. Kadang kala, hanya disebabkan oleh
sesuatu yang kecil seperti hasutan orang mahupun kepentingan diri sendiri
menyebabkan sesebuah institusi perkahwinan itu runtuh. Dalam novel Salina,
pengarang juga menunjukkan aspek kepincangan keluarga akibat daripada sikap
rakus manusia terhadap kebahagiaan duniawi. Berikut merupakan antara teks yang
menunjukkan kepincangan keluarga akibat daripada sikap rakus manusia
terhadap kebahagiaan duniawi.
“Bergaduh dengan siapa?”
“Gaduh
dengan Narto. Narto bawa wang sikit dah dua tiga hari ni. Emak marah. Dia
mahukan duit lebih banyak lagi. Kata narto beca dah susah nak dapat sewa
sekarang ni. Tak macam dulu, beca sikit. Katanya sekarang teksi dah mula
banyak. Orang lebih suka naik teksi. Sebab itulah susah nak dapat sewa banyak,”
Nadihah menerangkan.
(Salina, 1980: 18)
Berdasarkan teks di atas, dapat dilihat bahawa Zarina iaitu ibu angkat
kepada Narto sanggup memarahi dan bergaduh dengan Narto hanya kerana Narto
tidak memberikan wang yang banyak kepadanya. Selain itu, Zarina juga sanggup
memaki hamun dan menghalau Narto yang merupakan anak yang telah lama dijaganya
hanya disebabkan oleh harta duniawi. Berdasarkan cerita yang terdapat dalam
novel Salina itu, keadaan keluarga menjadi semakin pincang bukan sahaja
disebabkan oleh kekurangan wang untuk meneruskan kehidupan. Malah, Zarina juga
telah dihasut oleh Fakar, lelaki yang meminati anak perempuannya
iaitu Nahidah dan merasakan bahawa Narto merupakan batu penghalang kepadanya
untuk mendapatkan Nahidah. Oleh yang demikian, Fakar telah membina rancangan
untuk menghasut Zarina untuk membuang Harto daripada keluarganya agar
rancangannya dapat dijalankan dengan mudah. Disebabkan oleh ikatan kekeluargaan
yang tidak kuat dan utuh menyebabkan Zarina termakan pujuk rayu dan hasutan
Fakar sehinggakan Narto dihalaunya daripada rumah tersebut. Oleh yang demikian,
jelaslah bahawa hanya disebabkan tuntukan duniawi, seseorang itu sanggup
memecahbelahkan keluarganya sendiri.
4.1.4 Kehidupan Bantu-Membantu dan Mementingkan Ilmu
Pengetahuan
Dalam novel Salina ini,
dapat dilihat bahawa Salina merupakan seorang watak yang memegang watak sebagai
pelacur. Walaupun Salina seorang pelacur, namun dia masih mempunyai sifat yang
baik dalam dirinya di mana dia membantu Hilmy iaitu anak jirannya dalam aspek
pelajaran. Walaupun Hilmy sekadar anak jiran yang dianggap sebagai adiknya,
namun dia telah berusaha membantu Hilmy untuk membiayai pembiayaiannya
pelajaran dan bukunya hanya untuk melihat Hilmy berjaya memandangkan nasib yang
dialami oleh Hilmy sama sepertinya. Berikut merupakan teks yang menunjukkan
tentang kehidupan bersama dan bantu-membantu bagi golongan yang memerlukan.
“ Hilmy
jangan susah,” kata Siti Salina menyambung terus, “kakak akan tolong Hilmy.
Kalau ada apa-apa kesusahan tentang duit buku seumpamanya, cakaplah kepada
kakak. Kakak tahu sekolah orang putih banyak pakai buku dan banyak pakai duit.
Cakaplah pada kakak bila sahaja Hilmy perlukan wang sekolah. Kalau kakak ada
duit, kakak beri, kalau kakak tak ada kakak tolong carikan,” suara Siti Salina
begitu bersungguh-sungguh. Dan Siti Salina juga merasakan bahawa dia tidak
berkata-kata kepada orang lain, tetapi kepada adiknya sendiri, adik yang ingin
diberinya sebanyak-banyak pelajaran, satu keinginan yang selalu dirasakannya
akhir-akhir ini.
(Salina, 1980: 84)
Berdasarkan teks di atas maka jelaslah bahawa Siti Salina sanggup untuk
membiayai pelajaran dan buku Hilmy hanya kerana merasakan bahawa pelajaran itu
sangat penting buat Hilmy. Walaupun pada hakikatnya Siti Salina tidak mempunyai
pertalian darah dengan Hilmu dan Kadijah, namun dia tetap membantu
masyarakatnya yang memerlukan bantuannya. Hal ni juga mungkin disebabkan oleh
kesungguhan Kadijah, emak kepada Hilmy yang bersungguh-sungguh mencari nafkah
untuk menanggung dirinya dan Hilmy serta pelajaran Hilmy. Oleh yang
demikian, maka jelaslah bahawa dalam novel Salina ini mempunyai kehidupan
bersama dan bantu-membantu golongan yang memerlukan dan juga mementingkan ilmu
pengetahuan. Selain itu, kepentingan dalam menuntut ilmu juga dapat dilihat
dalam watak kathijah. Walaupun Katijah mengalami kemusnahan hidup setelah
Perang Dunia Kedua, dia masih menyekolahkan Hilmy. Malah Hilmy dapat dilihat
sebagai pelajar yang pandai kerana mampu bersekolah sekolah Melayu Kota Raja
dan berpindah ke sekolah Inggeris Monk’s Hill dan Victoria School secara
percuma. Hal ini dapat dilihat pada petikan berikut.
“Memang dari sekolah Melayu
dulunya; sesudah sekolah Melayu barulah dihantar ke sekolah Inggeris. Kalau
hendak dihantar ke sekolah Inggeris terus saja, siapa yang mampu? Ayahnya bukan
ada. Untunglah dapat sekolah free, jawab Katijah menerangkan.”
(Salina, 1961:10)
Inilah antara pemikiran atau mesej dan isi yang ingin disampaikan oleh
pengarang dalam novel Salina. Namun yang demikian, masih banyak lagi isi dan
mesej yang ingin disampaikan oleh pengarang. Oleh yang demikian , pembaca
perlulah menelusuri. Novel ini bagi memperoleh semua isi dan mesej serta
pemikiran yang ingin disampaikan oleh pengarang kepada pembaca. Sekiranya
pembaca melakukan pembacaan sepenuhnya, pasti akan memperoleh pelbagai mesej
daripada pengarang yang dapat menjadi panduan dan pedoman dalam meneruskan
kehidupan yang sebenar.
No comments:
Post a Comment