Kamus Dewan edisi
keempat (2010) mendefinisikan istilah ‘pandangan’ kepada beberapa maksud
iaitu hasil perbuatan memandang, apa-apa yang terlihat (tergambar) di mata hasil
daripada perbuatan memandang, apa-apa yang menjadi perhatian dan juga bermaksud
anggapan. ‘Hidup’ pula mempunyai terlalu banyak maksud, namun dalam konteks
ini, istilah ‘hidup’ sesuai didefinisikan sebagai keadaan yang sebenarnya atau
dilihat (lukisan, cerita dan lain-lain). Apabila dua istilah ini disatukan
menjadi pandangan hidup, maka dapatlah difahami bahawa ‘pandangan hidup’
merujuk kepada ‘anggapan terhadap keadaan yang sebenarnya atau dilihat’.
Konsep pandangan hidup menurut sarjana
Islam, Syed Naquibb al-Attas (172) di dalam buku Penghayatan karya agung
(2013), pandangan hidup mestilah bersumberkan Islam yang merangkumi hal dunia
dan akhirat. Oleh itu, pandangan hidup dari perspektif Islam ialah
pandangan tentang realiti atau hakikat yang terjelma dari mata hati manusia
mengenai kewujudan selurua alam.
Menurut Mohd Rashid Md. Idris, Abdul Rahman Napiah
dan Seri Lanang Jaya (126: 2014), konsep pandangan hidup secara umumnya
mengenai pandangan hidup alam semesta secara keseluruhan terutamanya dilihat
melalui satu sudut pandangan yang dipengaruhi oleh satu sistem nilai yang
tertentu. Selain itu, mereka turut berpendapat bahawa pandangan hidup merupakan
suatu konsep yang dimiliki oleh masyarakat atau komuniti tertentu, bertujuan
untuk menanggapi dan menerangkan segala permasalahan yang berkaitan dengan
Tuhan, manusia dan alam. Setiap masyarakat, khususnya orang Melayu mempunyai
pandangan hidup yang lazimnya melibatkan hubungan manusia dengan Tuhan, alam
dan hubungan sesama manusia serta terperinci kepada tiga bahagian iaitu
bahagian keluarga, pemimpin dan masyarakat.
2.4.1 Pandangan Hidup Terhadap Pemerintah
a) Adab
Rakyat Terhadap Pemerintah
Dalam Hikayat Raja Pasai, terdapat pegangan hidup
yang jelas berkaitan dengan falsafah Melayu. Pertama ialah adab rakyat terhadap
pemerintah iaitu raja (sultan). Hal ini dapat dilihat dalam peristiwa semasa
Raja Muhammad bersama segala rakyatnya menebas rimba.
“Di tengah rimba itu terdapat serumpun buluh betung
yang terlalu rimbun. Sekalian rakyat menebas dan menebang pohon buluh itu. Akan
tetapi, sebaik ditebas, buluh itu akan kembali tumbuh semula. Kemudian Raja
Muhammad sendiri yang menebas buluh betung itu dan habis semua buluh betung itu
ditebang oleh baginda”
(Hikayat
Raja Pasai, 2004: 1-2)
Dari peristiwa ini, dapat dilihat bahawa pengarang
cuba untuk memperlihatkan hubungan antara rakyat dengan raja. Dalam masyarakat
Melayu, rakyat akan taat setia dan akan melakukan segala perintah raja. Apabila
perintah itu tidak dapat dipenuhi atau mendapat halangan, rakyat akan kembali
semula kepada raja kerana dalam konteks masyarakat Melayu, raja memiliki
kesaktian atau daulat. Contohnya dalam peristiwa ini, rakyat tidak mampu untuk
melaksanakan tugasan menebas pohon buluh, mereka akan kembali dan berserah
kepada raja untuk melaksanakan tugasan yang mustahil bagi mereka.
b) Kedaulatan
Dan Kesaktian Raja
Kedua, melalui peristiwa yang sama juga memperlihatkan
pegangan hidup masyarakat Melayu yang mendaulatkan raja dan mempercayai
kesaktian raja-raja Melayu. Hal ini dapat diperjelas dengan lebih lanjut
melalui peristiwa yang berlaku seterusnya.
“Raja Muhammad terpandang rebung buluh di
tengah-tengah buluh betung itu besarnya seperti badan manusia. Baginda hendak
menebang rebung itu, maka sekonyong-konyong keluar seorang kanak-kanak
perempuan. Rupa paras anak itu terlalu cantik”
(Hikayat Raja Pasai, 2004: 2)
Dalam peristiwa ini, kita dapat lihat bahawa
pengarang cuba menonjolkan kesaktian Raja Muhammad. Hal ini kerana bukan sahaja
hanya baginda yang dapat menebas buluh tersebut, bahkan baginda juga yang
menjumpai seorang kanak-kanak perempuan yang cantik. Sementara itu, rakyatnya
dapat menebang pohon buluh tetapi buluh tersebut sering tumbuh semula. Di
sinilah terserlahnya kesaktian Raja Muhammad.
c) Taat Kepada Perintah Raja Dan Kerabatnya
Masyarakat Melayu tradisional tidak dapat lari
dengan konsep taat setia kepada raja, begitu juga terhadap kaum kerabatnya.
Bagi masyarakat Melayu, titah raja dianggap satu kewajipan yang mesti
ditunaikan walaupun tidak masuk akal. Dalam Hikayat Raja Pasai, terdapat
peristiwa yang mengukuhkan pernyataan ini.
“Tuan puteri itu menyuruh hulubalang yang bernama
Tun Perpatih Jena pergi ke setiap negeri untuk melukiskan rupa segala anak
raja-raja yang ada pada segala negeri serta membawa
kertas seperti dakwat penuh sekoci dan kalam kertas.”
(Hikayat
Raja Pasai, 2004: 96)
Dalam petikan ini, dapat dilihat hulubalang
Tun Perpatih Jena telah berusaha belayar dari sebuah negeri ke negeri lain
untuk melaksanakan titah ini. Dia telah berjaya melukis rupa 99 orang putera
raja dan seorang lagi di Pasai iaitu Tun Abdul Jalil. Dalam peristiwa ini,
dapat dilihat pandangan hidup masyarakat Melayu yang mentaati perintah raja dan
kerabatnya. Walaupun terpaksa bersusah payah belayar dari negeri ke negeri lain
dengan membawa perkakasan yang banyak serta memakan tempoh waktu yang panjang,
Tun Perpatih Jena tetap melaksanakan perintah itu.
2.4.2 Pandangan Hidup Terhadap Alam
a) Pemilihan
Kosa Kata Berunsur Alam
Dalam konteks ini, sesuatu karya akan dimasukkan
dengan kosa kata berunsur alam. Dalam Hikayat Raja Pasai, banyak kosa kata berunsur
alam diterapkan seperti hutan belantara, buluh, sungai, binatang, tanah dan
lain-lain. Contohnya ;
“Raja Ahmad bercerita kepada orang tua itu yang
mereka sedang memburu binatang hutan, akan tetapi masih tidak bertemu dengan
sebarang binatang buruan. Setelah itu, Raja Ahmad bercerita kepada orang tua
itu bahawa saudaranya mendapat seorang kanak-kanak perempuan di dalam rebung
buluh betung”
(Hikayat
Raja Pasai, 2004: 4)
Dalam petikan di atas, jelas menunjukkan terdapat pemilihan kosa kata yang
berunsur alam. Perkataan binatang, hutan, rebung dan buluh betung antara contoh
yang digunakan dalam Hikayat Raja Pasai memandangkan unsur alam inilah yang
dekat dalam masyarakat Melayu.
b) Kaitan
Alam Dengan Peristiwa Dalam Hikayat Raja Pasai
Melalui konteks ini, watak dengan alam akan
dikaitkan bersama dalam jalan cerita karya. Unsur alam akan dijalin bersama
peristiwa yang berlaku dalam karya tersebut. Dalam Hikayat Raja Pasai, terdapat
peristiwa yang mengaitkan alam dengan watak yang terdapat di dalamnya.
Contohnya ;
“Anak itu diberikan nama Puteri Betong”
(Hikayat Raja Pasai, 2004:
2)
Dalam peristiwa ini, Raja Muhammad telah menjumpai
seorang kanak-kanak perempuan yang cantik di celahan rimbunan pohon buluh
betung. Anak itu telah dipelihara dan dijadikan seperti anak sendiri, dinamakan
sebagai Puteri Betong. Di sini jelas memperlihatkan falsafah alam di mana Raja
Muhammad telah menamakan kanak-kanak yang dijumpainya itu berdasarkan tempat ia
ditemui. Selain itu, unsur alam juga dijadikan satu peristiwa yang penting
dalam karya. Contohnya ;
‘ Kata Sultan Maliku’l-Saleh kepada orang yang ada
bersama-sama baginda, “Adakah pernah kamu lihat pelanduk yang gagah seperti
ini? Pada bicaraku sebab ia diam pada tempat ini, itulah sebabnya pelanduk itu
menjadi gagah.”…. “Kata Sultan Maliku’l-Saleh sambil berfikir, baik tempat ini
kuperbuat negeri. Anakku Sultan Maliku’l-Tahir akan dijadikan raja di negeri
ini.” ’
(Hikayat Raja Pasai, 2004: 37-38)
Dalam petikan ini, terdapat dua peristiwa yang dapat
dikaitkan antara alam dengan peristiwa penting dalam Hikayat Raja Pasai.
Pertama, Sultan Maliku’l-Saleh telah melihat anjing buruannya iaitu Si Pasai
yang takut akan pelanduk yang sedang diburunya. Si Pasai tidak berani menerkam
pelanduk yang sepatutnya menjadi buruannya sebaliknya pelanduk tersebut yang
kelihatan seakan-akan ingin menerkam Si Pasai. Disebabkan kejadian yang luar
biasa inilah, Sultan Maliku’l-Saleh membuka negeri di situ. Setelah tertubuhnya
negeri tersebut, ia telah dinamakan sebagai Pasai apabila Si Pasai telah mati
dan ditanam si situ, maka negeri tersebut telah dinamakan sebagai Pasai.
2.4.3 Pandangan
Hidup Terhadap Islam
Dalam Hikayat Raja Pasai, terdapat banyak pandangan
hidup terhadap Islam yang diterapkan oleh pengarangnya. Antaranya ialah melalui
pemberian wasiat Sultan Maliku’l-Saleh. Terdapat dua peristiwa yang melibatkan
wasiat Sultan Maliku’l-Saleh yang mempunyai kaitan dengan falsafah Islam iaitu
kepada dua orang perdana menteri dan dua orang cucundanya.
“Barang siapa yang tiada menghukumkan dengan barang
hukum yang diturunkan Allah, maka
bahawasanya mereka itu jadi kafir. ”
(Hikayat
Raja Pasai 2004: 41)
Melalui wasiat pertama ini, Sultan Maliku’l-Saleh
menasihatkan kedua-dua perdana menterinya supaya melaksanakan pemerintahan
berdasarkan hukum Islam, iaitu berdasarkan hukum al-Quran dan al-Sunah.
“…ada pun sepeninggalan ini baik-baik laku
cucunda berdua memelihara pekerjaan al-amru bi’lma’rufi wa’l-nahyi
‘ani’l-munkar. ”
(Hikayat Raja Pasai 2004: 41)
Melalui wasiat kedua yang diberikan oleh Sultan Maliku’l-Saleh kepada
cucunda-cucundanya, jelas dapat dilihat falsafah hidup Islam yang menegaskan
setiap insan di dunia mestilah menjalani hidup dengan melaksanakan segala
perintah Allah dan menjauhi setiap perkara yang menjadi larangan-Nya.
No comments:
Post a Comment