Wednesday, 25 May 2016

Nilai Ilmu Hikayat Raja-raja Pasai

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2010:1081) dalam Seri Lanang Jaya et.al (2016), perkataan nilai merujuk kepada darjat, kualiti, mutu dan taraf. Manakala dalam bidang sains sosial, nilai boleh didefinisikan dalam tiga konteks utama, iaitu sebagai sifat (attribute) bagi menyatakan kepentingan atau manfaat sesuatu objek, menyatakan kadar harga atau markah sesuatu objek dalam bentuk kuantiti dan sebagai ukuran atau piawai sebagai sesuatu kelakuan manusia. Mohd Rashid Md Idris (2012) mendefinisikan nilai kepada tiga konteks utama iaitu sebagai sifat bagi menyatakan kepentingan atau manfaat sesuatu objek, menyatakan kadar harga atau markah sesuatu objek berbentuk kuantiti dan sebagai ukuran piawai kepada sesuatu kelakuan manusia. Nilai membolehkan manusia membezakan yang baik atau buruk dan betul atau salah. Hal ini demikian kerana nilai mempunyai sifat aksiologi dan mempuyai hubung kait dengan falsafah nilai.

Dalam konteks kehidupan masyarakat Melayu, nilai dan etika sangat mempunyai perkaitan yang rapat dengan perkara yang dianggap sebagai nilai yang tinggi dari segi kebenaran, kebaikan dan keindahan. Dalam konteks kerohanian, nilai-nilai tersebut sangat sinonim dengan agama Islam yang sudah sebati dengan kehidupan Melayu dan mempunyai pengaruh yang amat kuat dalam masyarakat Melayu.


2.3.1    Konsep Ilmu
Kamus Dewan Edisi Keempat (2010) mendefinisikan ilmu sebagai pengetahuan dalam perkara dunia, akhirat, zahir, batin dan lain-lain. Hal ini bermaksud ilmu sangat berkait rapat dengan pemerolehan sesuatu pengetahuan dan berkaitan dengan usaha kita menyebarkannya kepada orang lain dalam bentuk pelbagai maklumat. Sebenarnya yang dikatakan ilmu ini mempunyai pelbagai fungsi. Antaranya adalah untuk menyebarkan ilmu pengetahuan yang boleh digunakan untuk menyelesaikan sesuatu masalah, membuat keputusan dan mengembangkan lagi perkara yang mengandung kemusykilan.

            Kandungan karya-karya agung klasik tentunya mempunyai pelbagai ilmu yang sangat signifikan dengan kehidupan masyarakat Melayu pada zaman tersebut. Penelitian terhadap karya-karya  agung klasik membolehkan kita mengetahui dan memahami ilmu masyarakat pada zaman tersebut secara dalam. Dalam karya agung, ilmu dan maklumat yang dikaji adalah seperti ilmu firasat, ilmu jampi, ilmu perdukunan, ilmu pengasih, strata masyarakat Melayu serta adat dan istiadat Melayu.


2.3.2    Ilmu Firasat
Menurut Kamus Dewan (2010), firasat adalah pengetahuan mengenai tanda-tanda pada muka (badan dan lain-lain) untuk mengetahui kelakuan atau nasib orang. Tilikan dan ramalan yang dilakukan oleh ahli nujum itu berkaitan dengan ilmu firasat. Sulastin Sutrisno menyatakan bahawa orang yang mempunyai ilmu firasat dapat merasa, melihat atau mengetahui kelakuan lebih dahulu sesuatu yang akan berlaku.
            “Maka tersebutlah perkataan Merah Silau di Rimba Jerana itu. Sekali persetua pada suatuhari Merah Silau pergi berburu. Maka ada seekor anjing dibawanya akan perburuan Merah Silau itu bernama Si Pasai. Maka dilepaskannya anjing itu, lalu ia menyalak di atas tanah tinggi itu. Maka dilihatnya ada seekor semut besarnya seperti kucing. Maka itu pun disuruh MerahSilau tebasi pada segala orang yang sertanya itu. Maka setelah itu diperbuatnya akan istananya.”
                                                                                            (Hikayat Raja Pasai, 2004: 10-11)


2.3.3    Ilmu Perdukunan

Menurut Kamus Dewan (2010), perkataan dukun membawa maksud orang yang mengubat orang yang sakit atau memberi ubat menggunakan cara kampung atau tradisional, bomoh dan pawang. Manakala perdukunan pula membawa maksud sesuatu yang berkaitan dengan pengubatan cara kampung atau tradisional, yang berkaitan dengan ilmu dukun. Hal ini berkaitan dengan kepercayaan animisme yang menganggap benda-benda seperti batu-batu, pokok dan sebagainya mempunyai semangat dan kuasa ghaib.

            Kepercayaan masyarakat Melayu pada mulanya berbentuk ananisme di mana mereka menganggap benda-benda sekeliling mempunyai semangat dan kuasa ghaib. Sehubungan dengan itu, wujudlah pemujaan kepada pokok-pokok, batu-batu, sungai-sungai serta alam semesta. Kuasa ghaib tidak boleh dihubungi oleh sembarangan orang. Hanya pawang atau bomoh sahaja yang boleh berhubung dengan benda-benda tersebut. Bomoh atau dukun juga boleh menghubungi semua kuasa ghaib yang ada pada binatang terutamanya yang liar dan bisa. Contoh petikan dalam Hikayat Raja Pasai adalah seperti berikut:
“Setelah sudah dipersembahkan oleh orang yang melihat itu, maka disuruh Sultan Malikul Salleh panggil ahli nujum. Datanglah segala ahli nujum. “Lihat apalah oleh tuan-tuan sekalian  dalam nujum kamu akan anak Raja Perlak itu, yang mana baik, kita ambil.” Segala ahli nujum pun melihat nujumnya dan membilang-bilang ramalannya serta menggerakan kepalanya lalu datang sembah segala ahli nujum itu, “Ya Tuanku Syah Alam, jikalau tuan puteri yang duduk tinggi pada martabatnya itu Syah Alam ambil, nescaya datang kepada anak cucu Syah Alam kerajaan tiada berkeputusan terlalu sekali berbahagia.”
        (Hikayat Raja Pasai, 2004: 16) 


2.3.4    Ilmu Jampi
Menurut Kamus Dewan (2010), perkataan jampi membawa maksud kata-kata tertentu yang mendatangkan kesaktian. Selain itu, jampi juga dikenali sebagai mentera. Sebenarnya jampi serapah tidak hanya sekadar penglahiran perasaan seperti puisi tetapi juga mempunyai hubungan dengan kejiwaan dan sistem kepercayaan, (Mana Sikana, 1996). Jampi merupakan sesuatu yang dibaca untuk memberi kesaktian terutama dalam bidang perubatan.
“ Maka jogi itu pun pengsan sebab daripada keramat sultan itu.”
         (Hikayat Raja Pasai, 2004: 35) 

Berdasarkan ayat di atas, jelaslah bahawa jampi juga ada diceritakan dalam Hikayat Raja Pasai. Hal ini kerana ayat tersebut menunjukkan bahawa jogi itu pengsan disebabkan sultan tersebut mempunyai tongkat sakti atau tongkat yang telah dijampi. Oleh itu, dapatlah disimpulkan bahawa masyarakat pada zaman itu sudah terdedah dengan ilmu jampi.



2.3.5    Ilmu agama Islam
Dalam Hikayat Raja-raja Pasai terdapat juga ilmu lain seperti ilmu agama Islam. Pada masa itu, Agama Islam telah lama wujud tetapi belum tersebar di serata dunia. Dalam Hikayat Raja-raja Pasai, Sultan Malikul Salleh telah bermimpi dan memeluk Islam. Bermula daripada baginda, rakyat-rakyat juga turut diislamkan. Hal ini dapat dilihat dalam petikan berikut:
“Apabila bertemu dengan Sultan Malikul Saleh, Syeikh Ismail berkata,”Hai Sultan, ucaplah oleh tuan hamba dua kalimah syahadah.” Maka Sultan pun mengucap, “Asyhadul an laillallahwahdahu la syarikalahu wa asyhadu anna Muhammadar abdahu wa rasuluh.” Pada keesokkan harinya, datanglah fakir itu membawa al-Quran tiga puluh juz itu kepada Sultan Malikul Saleh, maka ditunjukkan oleh fakir itu al-Quran kepada Sultan Malikul Saleh maka disambutnya dengan takzim lalu dijunjunginya serta dibukanya lalu dibacanya, tiadalah ia minta diajari lagi, tahulah ia membacanya sendiri. Fakir dan Syeikh Ismail pun mengucap, alhamdulillahi rabbi’l-‘alamin.” Syeikh Ismail meminta dihimpunkan segala hulubalang dan segala rakyat. Apabila sudah berhimpun sekaliannya, Syeikh Ismail mengajar mereka mengucap dua kalimah syahadah. Sekalian yang hadir rela mengucap dua kalimah syahadah dengan tulus ikhlas serta yakin hati mereka.”
         (Hikayat Raja Pasai, 2004: 13) 

Berdasarkan petikan tersebut, maka dapatlah disimpulkan bahawa agama Islam telah lama wujud dan pemelukan akan Islam dimulai dengan raja dan barulah diikuti oleh rakyat-rakyat. Negeri itu digelar sebagai Darul Islam kerana orang di negeri itu tidak dipaksa untuk memeluk agama Islam.


2.3.6    Strata Sosial Masyakat Melayu

Strata masyarakat  atau statifikasi ialah menggambarkan tentang struktur sosial masyarakat dari segi iaitu pembahagian masyarakat kepada beberapa lapisan atau kelas yang berlainan atau juga dikenali sebagai susun lapis masyarakat. Dalam Karya Agung Sejarah Melayu, masyarakat Melayu digambarkan mempunyai struktur yang tersusun. lanya didahului oleh seorang raja sebagai pemerintah sehinggalah kelas paling bawah iaitu golongan hamba. Keterangan diatas jelas menunjukkan bahawa strata masyarakat pada zaman dahulu dapat dibahagikan kepada dua iaitu golongan atasan dan golongan bawahan. Raja dan pembesar menduduki kedudukan sebagai golongan atasan manakal rakyat biasa dan hamba pula dianggap sebagai golongan bawahan Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2010), strata membawa maksud yang sama bagi stratifikasi, iaitu pembahagian masyarakat kepada beberapa lapisan atau kelas yang berlainan, susun lapis masyarakat, pembahagian atau pembentukan strata. 
  
Raja atau Sultan merupakan golongan yang berada di kedudukan paling atas dalam strata sosial masyarakat Melayu, Hikayat Raja-raja Pasai. Golongan sultan merupakan golongan yang paling dihormati dan rakyat perlu menunjukan taat setia yang tinggi terhadap sultan. Baginda akan dikelilingi oleh kerabat-kerabat di raja, permaisuri, putera-puteri raja serta kaum kerabat di raja yang lain. Golongan pemimpin iaitu raja mempunyai kuasa penuh terhadap rakyatnya sehingga mampu membuat keputusan tanpa berfikir atau mengusul periksa terlebih dahulu. Berada di bawah baginda ialah golongan pentadbir atau lebih dikenali juga sebagai golongan bangsawan.

Golongan bangsawan memduduki tangga yang kedua. Golongan ini pula terdiri daripada pembesar dan pegawai tadbir seperti Bendahara, Laksamana, Penghulu Bendahari, Perdana Menteri, Temenggung Bentara, Syahbandar. Teradapat juga dalam kalangan pendatang yang tergolong dalam golongan bangsawan. Selain itu, orang kaya merupakan golongan strata sosial yang berada di atas golongan peniaga. Golongan ini yang akan membantu golongan peniaga melariskan hasil jualan mereka. Kebanyakan golongan orang kaya ini juga merupakan peniaga. Dalam Hikayat Raja-raja Pasai golongan ini juga melengkapi susun lapis masyarakat pada zaman tersebut.

Golongan yang berada pada peringkat yang seterusnya dalam Hikayat Raja-raja Pasai adalah golongan rakyat yang merdeka. Golongan ini terdiri daripada pedagang, tukang-tukang mahir, petani dan juga saudagar. Dalam hal ini, terdapat juga dalam kalangan saudagar yang mempunyai hubungan erat dengan golongan atasan. Dalam susun lapis masyarakat Hikayat Raja-raja Pasai, rakyat biasa yang merdeka termasuk dalam golongan bawahan.  Mereka akan melakukan kegiatan harian seperti berniaga, bertani dan bercucuk tanam. Namun mereka bukan termasuk dalam golongan hamba abdi. Rakyat biasa bebas untuk melakukan kerja seharian asalkan pekerjaan tersebut tidak melanggar undang-undang dan adat istiadat. Pada peringkat ini, setiap kampung mempunya ketua-ketua yang dipanggil pendekar atau penghulu.

Manakala golongan yang berada pada peringkat bawahan sekali adalah golongan hamba. Golongan hamba terdiri daripada hamba raja, hamba berhutang dan hamba abdi. Pada masa tersebut, golongan yang termasuk dalam golongan hamba dipanggil biti-biti. Biasanya mereka akan melakukan kerja-kerja berat menurut permintaan tuan hamba tersebut.


No comments:

Post a Comment