Wednesday, 25 May 2016

Falsafah Hikayat Raja-raja Pasai


Falsafah berasal daripada perkataan Yunani iaitu philosophia, iaitu ‘philo’ertinya cinta dan ‘sophia’ ertinya nikmat. Kamus Dewan Edisi Keempat menyatakan falsafah ialah pengetahuan tentang pengertian yang dianggap sebagai ilmu yang tertinggi yang menjadi dasar ilmu-ilmu lain. Istilah falsafah atau philosophia telah digunakan oleh Pythagoras pertama kalinya. Beliau mengatakan philo dan sophia membawa maksud cinta akan kebijaksanaan. Menurut Plato pula, philosophia bermaksud ilmu. Beliau yang mula-mula memberi takrifan secara khusus tentang falsafah. Menurut Plato (427-347 S.M) :

“Falsafah merupakan bidang yang meneliti hakikat yang mendasari sesuatu benda atau perkara yang mendasari sifat luarannya, iaitu apa sebenarnya yang menjadi asas dan inti pati pembentukan sesuatu benda atau perkara itu ; apa asasnya, apa esensi, apa zatnya”


2.2.1    Falsafah Melayu Dalam Hikayat Raja Pasai
Kehidupan masyarakat Melayu sememangnya tidak terlepas daripada peraturan dan aturan yang perlu dipatuhi berdasarkan kesepakatan masyarakat. Masyarakat Melayu sangat mementingkan aspek nilai dalam kehidupan untuk menjamin kesejahteraan masyarakat. Nilai yang disampaikan bersifat beradab, muafakat dan penuh dengan kesusilaan. Pemupukan nilai dalam masyarakat Melayu membolehkan seseorang itu diterima sebahagian daripada masyarakat.  Nilai sememangnya menjadi sesuatu yang dekat dengan masyarakat Melayu. Nilai dan etika yang dipegang menjadi cerminan kepada masyarakat Melayu dan membentuk jati diri mereka dalam interaksi dan kehidupan bermasyarakat. Sebagai contoh, interaksi yang beradab, sopan, menghormati orang lain merupakan norma- norma yang erat dengan kehidupan masyarakat Melayu. Nilai yang diamalkan akan menghasilkan komunikasi dan tingkah laku yang penuh tatatertib yang beradab dan penggunaan bahasa yang penuh dengan kesantunan .

Selain itu, masyarakat Melayu mempunyai penilaiannya yang tersendiri terhadap budi bahasa. Mereka telah terdidik untuk mengamalkan adab sopan, tutur kata yang baik dan tingkah laku mengikut adab- adab ketimuran dan Melayu sejati. Anggota masyarakat yang tidak mengamalkan nilai berbudi bahasa dalam kehidupan mereka akan menimbulkan pandangan negatif oleh masyarakat. Ketinggian nilai budi bahasa dalam masyarakat Melayu juga boleh dilihat dalam ungkapan puisi Melayu tradisional.

            Falsafah yang terdapat di dalam Hikayat Raja Pasai sememangya mempunyai kaitan dan pertaliannya sendiri dengan nilai budayanya. Dalam Falsafah Melayu misalnya, terdapat banyak nilai budaya yang berkaitan dengan rakyat dan raja. Sebagai contoh, nilai budaya rakyat mentaati raja. Seperti yang diterangkan sebelum ini, masyarakat di Alam Melayu mempercayai kesaktian yang ada pada raja. Masyarakat Melayu juga sangat berpengang teguh kepada konsep daulat dan tulah. Falsafah yang mengatakan raja memiliki kesaktian dan tidak boleh diingkari ini telah menjadi pegangan hidup bagi masyarakat Melayu. Pengangan hidup ini telah menjadi suatu budaya mengawal kelakuan rakyat dan menjadikan rmereka supaya sentiasa taat dan setia kepada golongan raja.



2.2.2    Falsafah Alam Dalam Hikayat Raja Pasai
Hubung kait antara manusia dan alam sekitarnya iaitu cara manusia menggunakan kebijaksanaan untuk berinteraksi dengan alam. Dalam pemikiran Hamka, alam membantu masyarakat untuk terus berpegang bahawa segala yang ada di seluruh alam ini telah terancang oleh Pencipta.  Alam sekitar membawa maksud keadaan sekeliling atau lingkungan. Perkataan alam sekitar merujuk kepada apa sahaja yang melingkungi manusia.
Falsafah alam sekitar adalah ilmu yang menumpukan kepada alam dan manusia dituntut agar menggunakan kebijaksanaan mereka semasa bertindak ke atas alam. Manusia perlu menghormati alam ini kerana mereka adalah pengguna sumber alam terbesar. Falsafah alam juga merupakan salah satu cabang ilmu falsafah etika. Etika alam sekitar merupakan kajian yang menekankan hubungan, nilai dan status moral manusia terhadap persekitaran mereka termasuklah benda bernyawa dan benda tidak bernyawa.
Dalam masyarakat Melayu sendiri tidak terpisah dengan memasukkan falsafah atau pandangan hidup kealaman dalam karya dan kebudayaan. Contohnya, unsur alam tidak dapat dielakkan dalam karya tradisional seperti pantun, teromba, puisi, mantera dan lain-lain. Begitu juga dalam Hikayat Raja Pasai ini. Falsafah alam dapat dilihat melalui dua konteks iaitu dalam pemilihan kosa kata berkaitan alam itu sendiri dan kaitan antara alam dengan isi peristiwa dalam karya.
Masyarakat Melayu tidak dapat mengelak daripada dikelilingi oleh unsur-unsur alam yang terdapat di Alam Melayu itu sendiri. Contohnya dalam budaya permainan masyarakat dalam HRP, terdapat budaya menyabung ayam dalam masyarakat. Jika di Arab terdapat budaya permainan gusti, budaya menyabung pula ayam merupakan kebiasaan di Alam Melayu. Kesemua masyarakat yang ada di dunia pasti akan terikat dengan unsur-unsur alam serta budaya yang berlegar di sekelilingnya.



2.2.3    Falsafah Islam
Falsafah ialah satu disiplin ilmu yang mengusahakan kebenaran yang umum dan asas. Menerangkan pertalian antara manusia dengan penciptanya, antara manusia dengan manusia dan juga manusia dengan persekitarannya. Falsafah Islam  tidak dapat dipisahkan daripada dua sumber berautoriti iaitu al-Quran dan as-Sunnah.

Dalam Hikayat Raja Pasai, terdapat peristiwa yang melibatkan majlis akikah dan sebagainya. Kemasukan agama Islam telah memberikan pengaruh yang besar dalam kehidupan masyarakat Melayu. Antaranya ialah melalu penggunaan nama-nama Islam oleh golongan raja di Alam Melayu. Budaya menziarahi kubur dan bersedekah kepada si mati juga telah menjadi pegangan hidup dalam masyarakat Melayu.

No comments:

Post a Comment