Wednesday, 25 May 2016

Kepengarangan dan Estetika Hikayat Raja-raja Pasai

Menurut Karya Agung Melayu (2014:98), kepengarangan dilihat daripada aspek keperibadian yang dicapai pengarang. Hal ini bermakna kepengarangan bermaksud perihal yang berkaitan dengan pengarang. Keperibadian adalah merupakan kemuncak kejayaan seseorang pengarang. Prinsip keperibadian ini merupakan kemuncak atau klimaks dalam perjuangan seseorang pengarang. Seseorang pengarang itu harus berusaha untuk membina teks yang unggul dalam mencipta sifat keperibadian mereka.

            Estetika pula membawa maksud nilai teks sastera dengan melihat kepada aspek keindahan dan kekuatannya (Karya Agung Melayu 2014:97). Estetik merupakan rasa keindahan, kegembiraan atau keseronokan yang merujuk kepada bernilainya dan bermanfaatnya sesuatu karya. Selain itu, estetika juga merujuk kepada penikmatan yang memukau dan penglihatan yang menakjubkan, yang mampu menawan perasaan dan kekal dalam pemikiran pembaca.

            Contohnya dalam Hikayat Raja Pasai, pengarang menampilkan banyak watak-watak sultan dan raja. Masyarakat Melayu mempercayai bahawa raja memiliki daulat, istimewa dan kesaktian. Perkara ini dapat dilihat berdasarkan petikan berikut :

“Sultan mendengar suara itu, maka baginda mengambil air sembahyang lalu sembahyang dua rakaat serta salam. Belum pun selesai baginda memberi salam, maka datanglah wa’du’llah atas baginda diambil malaikatul maut nyawa baginda lalu ia kembalilah ke rahmatullah. Menurut suatu cerita, baginda mati semasa sedang sujud. Segala manusia hairan melihat baginda.”
(Hikayat Raja Pasai, 2004: 55-56)

            Melalui petikan tersebut, pengarang cuba menonjolkan keperibadian yang dimiliki Sultan Malikul Mansur sebagai seorang raja yang istimewa kerana baginda tahu ajalnya sudah hampir dan sempat menunaikan sembahyang dua rakaat sebelum dia mangkat. Pengarang memperkukuhkan lagi keistimewaan baginda dengan mengaitkan satu cerita bahawa baginda telahpun mangkat semasa sedang sujud.

Selain itu, aspek kesaktian dan kedaulatan raja ini juga boleh dilihat melalui peristiwa berikut:

“Di tengah rimba itu terdapat serumpun buluh betung yang terlalu rimbun. Sekalian rakyat menebas dan menebang pohon buluh itu. Akan tetapi, sebaik ditebas, buluh itu akan kembali tumbuh semula. Kemudian Raja Muhammad sendiri yang menebas buluh betung itu dan habis semua buluh betung itu ditebang oleh baginda”
(Hikayat Raja Pasai, 2004: 1-2)


            Berdasarkan petikan tersebut, dapat dilihat dengan jelas bahawa pengarang cuba menyerlahkan kesaktian dan kedaulatan yang dimiliki oleh Raja Muhammad. Perkara ini dapat dilihat dengan kebolehan Raja Muhammad menebas pokok buluh hingga habis semuanya ditebang kerana pokok buluh tersebut berulang kali tumbuh semula walaupun selepas ditebang rakyat. Peristiwa ini jelas menunjukkan kesaktian yang dimiliki Raja Muhammad.

            Aspek estetika pula boleh dilihat dari aspek seni bahasa atau gaya bahasa. Menurut Za’ba gaya bahasa ialah rupa susuk bahasa yang dipakai apabila mengarang ataupun bercakap. Bahasa yang dipakai oleh pengarang atau penutur boleh menimbulkan daya yang mungkin sebagai kata-kata biasa, perbandingan dan sindiran. Melalui penerangan tersebut, dapatlah dirumuskan bahawa gaya bahasa adalah suatu corak, penyusunan kalimat dan bentuk kata-kata yang digunakan sewaktu berkomunikasi secara lisan mahupun tulisan.
            Kebanyakan pengarang akan cuba mencari dan menggunakan gaya bahasa yang terbaik sebagai suatu cara untuk menarik minat pembaca membaca karya mereka. Selain itu, pengarang juga akan menggunakan gaya bahasa yang terbaik untuk menghasilkan sesebuah karya yang bermutu. Keadaan ini menyebabkan apabila kita membaca sebarang penulisan tidak kira dari bentuk prosa mahupun puisi, kita akan menemui pelbagai gaya bahasa yang indah dan menarik.

           
2.6.1   Gaya bahasa yang terdapat dalam Hikayat Raja Pasai

a)         Pengulangan

Pengulangan ialah gaya bahasa yang mengulang-ulang sesuatu perkataan dalam suatu ayat. Contohnya ayat dibawah jelas menunjukkan pengulangan berulang kali Puteri Betung. Pengulangan Puteri Betung sebanyak tiga kali dalam ayat yang berturutan. :
            
1. Pada suatu hari, Merah Gajah melihat sehelai rambut Puteri Betung yang           berwarna       emas.

2. Dia meminta untuk mencabut rambut itu dari Puteri Betung tetapi Puteri Betung tidak                mengizinkan.
3. Namun demikian, Merah Gajah tetap mencabut rambut itu ketika Puteri Betung sedang             tidur.


b)         Pertentangan

Gaya bahasa jenis ini adalah perbandingan dua perkara yang berbeza dalam satu ayat. Contoh penggunaan gaya bahasa jenis pertentangan boleh dilihat dalam petikan berikut:

Malikul Mahmud memerintah Samudera manakala Malikul Mansur memerintah negeri   Pasai.

Petikan tersebut jelas menujukkan pertentangan yang berlaku dalam ayat yang sama. Petikan tersebut menunjukkan bahawa perbezaan negeri yang diperintah oleh Malikul Mahmud dan Malikul Mansur.


c)         Hiperbola
Gaya bahasa ini adalah gaya bahasa yang cuba menunjukkan atau membesar-besarkan sesuatu perkara. Contoh hiperbola dalam Hikayat Raja Pasai boleh dilihat dalam ayat berikut:

Lalu Merah Silau melihat di sana terdapat seekor semut yang sangat besar, sebesar seekor             kucing.

Ayat tersebut jelas menunjukkan berlakunya hiperbola. Hal ini kerana secara logiknya mustahil untuk seekor semut mempunyai saiz yang sama besar dengan seekor kucing.


d)         Pengunaan bahasa asing.
Bahasa Melayu mempunyai banyak perkataan asing yang telah dipinjam dan menjadi sebagai sebahagian daripada perkataan Melayu Jati. Perkataan-perkataan yang terpilih daripada pelbagai bahasa asing ini hampir kesemuanya diubah suai cara sebutan dan bunyinya agar sesuai dengan masyarakat yang bertutur dalam bahasa Melayu. Contohnya dalam Hikayat Raja Pasai ada mengandungi beberapa bahasa asing seperti bahasa Arab.

Rasulullah juga berwasiat supaya rombongan yang bakal pergi ke sana singgah terlebih dahulu di negeri Mengiri untuk mengambil seorang fakir untuk dibawa ke Samudera.
Seorang ulamak yang bernama Sheikh Ismail dijadikan mualim atau nakhoda kapal bagi menjayakan wasiat Rasulullah itu.                              


                                                  
2.6.2   Hubungan Antara Kepengarangan, Estetika dan Seni Bahasa.

Kepengarangan, estetika dan seni bahasa memanglah suatu unsur yang tidak dapat dipisah daripada sesebuah karya. Setiap karya yang dihasilkan oleh pengarang, sudah tentu akan memiliki ketiga-tiga aspek tersebut. Jika pengarang tidak memasukkan aspek-aspek tersebut, maka karya yang dihasilkan itu boleh dianggap sebagai tidak menarik dan tidak bermutu dan menunjukkan yang pengarang tersebut masih lemah dalam menghasilkan sesebuah karya yang menarik dan bermutu.

            Apabila pengarang cuba untuk menghidupkan sesuatu watak, unsur estetik akan dimasukkan secara sengaja untuk menjadikan karya lebih menarik dan diminati pembaca. Selain itu , untuk mewujudkan nilai keindahan dalam sesebuah karya, pengarang akan memasukkan seni bahasa untuk menunjukkan keindahan ayat dan peristiwa yang terdapat dalam karya hingga menyebabkan para pembaca menjadi terkesan dan seolah-olah masuk kedalam dunia karya pengarang.

            Pengarang Hikayat Raja Pasai telah berjaya menghidupkan watak-watak yang terdapat didalamnya terutamanya watak sultan dan raja dengan begitu baik dan teliti sekali. Seni bahasa juga dapat dilihat penggunaannya secara meluas dalam karya ini. Hal ini telah berjaya mewujudkan nilai estetika yang amat tinggi dalam karya ini dan secara tidak langung memberi kesan dan pengalaman yang menyeronokkan terhadap para pembaca.



3.0       KESIMPULAN

Kesimpulannya, kajian karya klasik ini dapat mendekatkan kita dengan pemahaman karya-karya zaman dahulu. Sebagai contohnya Hikayat Raja Pasai merupakan sebuah karya klasik yang kaya dengan pelbagai unsur sejarah yang boleh dijadikan tauladan dan teladan kepada masyarakat. Perkembangan semasa menyebabkan masyarakat kini  kurang  cakna mengenai karya klasik. Walhal daripada sumber warisan seperti karya agung ini yang sebenarnya menjadi asas kepada pembentukan serta perkembangan tamadun dunia Melayu terutamanya. Terdapat pengajaran positif yang boleh diambil dalam Hikayat Raja Pasai ini untuk kehidupan seharian kita. Antaranya ialah sikap gigih untuk mendapatkan sesuatu kejayaan. Selain itu, kebijaksaan manusia dalam menentukan sesuatu perkara sama ada benar atau salah. Pengajaran ini boleh membentuk masyarakat supaya menjadi masyarakat yang baik. Selain itu karya ini juga mengenengahkan unsur-unsur negatif yang boleh dijadikan iktibar atau peringatan kepada masyarakat pada masa ini Secara keseluruhannya, segala peristiwa atau kejadian yang berlaku dalam Hikayat Raja Pasai dapat dijadikan iktibar dan pengajaran bukan sahaja kepada masyarakat tetapi juga kepada pemerintah.

Hasil dari kajian terhadap Hikayat Raja Pasai ini, pengkaji mendapati bahawa dalam karya ini terdapat banyak elemen-elemen seperti pemikiran iaitu isi dan mesej yang hendak disampaikan, nilai budaya dan nilai ilmu, falsafah dan pandangan hidup, serta teknik kepengarangan dan nilai estetik. Garapan kesemua elemen ini telah melahirkan suatu karya yang sangat unggul serta bermakna. Maka tidak hairanlah mengapa karya Hikayat Raja Pasai ini telah diangkat sebagai salah satu karya agung atau masterpiece dalam Alam Melayu.

No comments:

Post a Comment