Wednesday, 25 May 2016

Pengenalan Hikayat Raja-raja Pasai


Karya Agung ialah karya ulung yang meninggalkan kesan budaya, pemikiran, pandangan dan falsafah hidup dalam ingatan bersama sesuatu bangsa. Yang dimaksudkan dengan karya ulung ialah karya yang dapat meninggalkan kesan seni, ilmu, falsafah dan nilai budaya dan sosial yang kekal dalam kesedaran dan ingatan bersama bangsa itu sepanjang sejarahnya. Unsur mutu, nilai ketamadunan dan nilai kemanusiaan semestinya hadir dalam karya seperti itu (Mohd Rashid Hj. Md Idris et al ,2014).


Hikayat Raja Pasai merupakan antara karya ulung dalam dunia Melayu. Karya ini  menjadi warisan temurun Melayu dan ianya mempunyai pelbagai versi bertepatan dengan perkembangan semasa. Pengkaji-pengkaji dalam bidang manuskrip seperti Russell Jones dan Ismail Ahmad bertindak sebagai penyelenggara bagi Hikayat Raja Pasai ini. Edisi yang dipermudah ini telah diolah dengan lebih ringkas dan lebih menarik daripada manuskrip asal yang bertulisan jawi tanpa mengubah struktur asal jalan ceritanya berdasarkan manual penerbitan manuskrip.


Terdapat tiga buah naskhah. Yang paling terkenal  ialah  naskhah MS Raffles Malay N. 67 yang tersimpan di The Royal Asiatic Society, London (Ms A). Naskhah yang kedua ialah naskhah yang disalin langsung daripada Ms A yang dilakukan oleh seorang sarjana Perancis yang bernama Edouard Dulaurier pada tahun 1838, yang tersimpan di Bibliotheque Nationale Paris, No. Mal.-Pol.50. Naskhah ini hampir tidak dapat dimanfaatkan untuk kajian perbandingan. Naskhah yang ketiga ialah naskhah yang baru ditemui pada tahun 1986 di London, yang yang dibeli oleh British Library pada tahun 1986 (Ms B).



Hikayat Raja Pasai (HRP) ialah sebuah hikayat tentang sejarah negara Pasai dan mencerminkan periodisasi yang terawal dalam historiografi Melayu Islam. Tarikh penghasilan karya ini masih belum dipastikan lagi. Walaupun dalam hikayat ini tidak tercatat sebarang tarikh, dalam kertas kerja Dr. Tatiana Denisova, beliau menganggarkan bahawa hikayat ini mencakupi jangka waktu kira-kira dari tahun 1280 hingga 1400 Masihi atau kira-kira dari tahun 680 hingga 800 Hijrah. Versi yang lebih kurang telah tersusun dalam bentuk yang terakhir, mungkin disiapkan pada akhir abad yang ke-14, dan salinannya muncul di Jawa pada tahun 1797.

No comments:

Post a Comment