Sunday, 5 June 2016




Rakan-rakan Pembangun Blog:







Pengenalan Blog

Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera,
 

Pembangunan blog ini secara khususnya bertujuan untuk memenuhi jam kredit bagi kursus BMS 3022 Karya Agung Melayu tahun 2016 Kumpulan A (2) dan memberi maklumat kepada pembaca tentang karya agung klasik dan karya agung moden secara amnya. Semoga blog ini dapat membantu pelawat-pelawat yang mencari maklumat dan rujukan.

Kami merupakan pelajar semester 8 2015/2016 Universiti Pendidikan Sultan Idris bagi program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Bahasa Melayu. 

Dalam blog ini dimuatnaikkan analisis mengenai karya agung tradisional iaitu Hikayat Raja-raja Pasai dan Karya Agung Moden iaitu Novel Salina. Dalam blog ini juga terdapat analisis mengenai tokoh-tokoh karya agung Melayu serta peranan dan sumbangan masing-masing terhadap perkembangan bahasa dan peradaban Melayu.

Aspek karya-karya agung yang dibincangkan dalam blog ini adalah seperti berikut: 

  1. Pemikiran, 
  2. Falsafah 
  3. Nilai Budaya, 
  4. Pandangan Hidup, 
  5. Estetika dan Kepengarangan,  
  6. Nilai Ilmu.


Tokoh dan Sumbangan

1.0       Pengenalan
Karya agung merupakan asas pembinaan tamadun sesuatu bangsa. Menurut Seri Lanang Jaya et.al (2016), karya agung boleh ditakrifkan sebagai karya yang mempunyai nilai yang tahan zaman. Karya agung mempunyai nilai yang tinggi sebagai khazanah budaya dan ilmu sesuatu bangsa. Karya agung dianggap tinggi nilainya kerana kandungan nilai dan falsafah dalam sesebuah karya tersebut memberikan suatu impak yang sangat tinggi kepada sesuatu masyarakat. Karya agung sebagai khazanah dalam sesebuah bangsa kerana karya ini dijaga dan kekal digunakan sehingga pada masa kini.
Menurut Hassan Ahmad (2005), tamadun sesebuah bangsa merupakan warisan daya cipta masyarakat tersebut yang boleh dikesani dan dihayati melalui karya-karya terdahulu. Biasanya karya-karya ini terhasil melalui penulisan oleh bijak pandai seperti ahli falsafah, seniman, ahli pemikir, karyawan dan ilmuan sesuatu bangsa. Hal ini bermaksud bahawa sesebuah karya mestilah mempunyai asal sama ada dicipta secara lisan mahupun secara tulisan. Sesebuah karya yang wujud tidak akan lahir begitu sahaja melainkan ada penulis atau pengkarya.
Dalam penulisan ini, pengkaji membincangkan dua tokoh yang sinonim dengan karya-karya agung yang telah dipelajari. Penulisan ini akan membincangkan aspek-aspek yang berkaitan dengan latar belakang tokoh pengarang karya agung. Seterusnya penullisan ini membincangkan secara mendalam lagi berkaitan dengan peranan-peranan atau sumbangan tokoh-tokoh tersebut  dalam pelbagai aspek khususnya dalam penulisan karya-karya. Tokoh yang akan dibincangkan dalam penulisan ini adalah Raja Ali Haji dan Syeikh Hamzah Fansuri.




2.0       Tokoh dan Sumbangan

2.1         Raja Ali Haji

2.1.2    Latar belakang Raja Ali Haji
Raja Ali Haji bin Raja Ahmad Haji atau lebih dikenali sebagai Raja Ali Haji merupakan salah satu tokoh sastera klasik yang sangat mahsyur. Beliau dilahirkan di Penyengat, Riau pada tahun 1809. Beliau sangat dikenali melalui karya penulisan Tuhfat al-Nafis. Ketika berusia 11 tahun, Raja Ali Haji menunaikan haji bersama ayahnya, Raja Ahmad dan tinggal di sana selama beberapa tahun. Semasa berada di Arab, beliau telah belajar bahasa Arab, pengetahuan agama serta ilmu sufi yang amat berguna dalam bidang sastera.
Setelah pulang ke Riau, beliau menjadi penasihat Yamtuan Muda Riau dalam bidang agama dan undang-undang. Ketika itu, Pulau Penyengat menjadi pusat kebudayaan Melayu dan pusat tumpuan ilmu pengetahuan, khususnya Islam. Beliau memiliki pengetahuan yang tinggi dalam bahasa Melayu dan Arab serta alim dalam hal ehwal agama Islam. Raja Ali Haji terkenal sebagai ahli tawarikh dan politik semasa hidupnya. Bakat-bakat ilmiah, sastera dan politik yang ada pada dirinya adalah diwarisi daripada ayahnya. Sekiranya mempunyai kelapangan, beliau akan mengarang buku dan antara anak muridnya yang terkenal termasuklah Yang Dipertuan Muda Riau sendiri dan Syed Syeikh al-Hadi dari Melaka (bapa novel Melayu). Beliau meninggal dunia pada tahun 1870.


2.1.2    Peranan dan Sumbangan Raja Ali Haji

Raja Ali Haji banyak memberikan sumbangan dalam pelbagai bidang. Menurut (Mohd. Sharifudin Yusop dan Mohd. Lani Sobi, 1999), Raja Ali Haji muncul sebagai tokoh yang sangat dikenali dan memberi sumbangan dalam bidang bahasa, kesusasteraan, sejarah, politik dan juga tokoh agama yang ulung pada zamannya. Secara umumnya, beliau telah memberikan sumbangan yang amat penting terhadap persuratan Melayu. Daya kreativitinya dan kepekaannya terhadap masalah atau kesukaran yang berlaku di sekelilingnya menjadikan beliau begitu masyhur. Dalam bidang agama, beliau menjadi guru kepada Yamtuan Muda Riau selain mengajarkan agama Islam kepada pembesar dan rakyat jelata. Beliau turut menghasilkan karya-karya berteraskan Islam seperti Gurindam Dua Belas, Syair Abdul Muluk, Syair Suluh Pegawai dan Syair Sinar Gemala Mustika Alam.
Selain itu, beliau juga telah memberikan sumbangan dalam bidang sejarah. Dalam bidang sejarah, beliau telah menghasilkan dua buah kitab sastera sejarah yang penting terutamanya bagi keturunan raja-raja Bugis iaitu Tuhfat al-Nafis dan Salasilah Melayu Bugis dan Sekalian Raja-rajanya. Sebagai tokoh bahasa, beliau menghasilkan pula Bustanul Katibin dan Kitab Pengetahuan Bahasa. Raja Ali Haji seorang tokoh yang dianggap mempunyai sumbangan yang amat tinggi berdasarkan penelitian karya-karyanya yang meliputi pelbagai bidang itu. Manakala dalam bidang bahasa, beliau telah dikenali sebagai orang pertama yang menulis tentang tatabahasa bahasa Melayu dalam Bustanul Katibin dan cuba menyusun sebuah kamus Melayu melalui Kitab Pengetahuan Bahasa.
Menurut Wan Samsuddin Mohd. Yusoff (1976), mengenai bukunya Tuhfatul Nafis, C. Hooykaas dan R.O Winstedt berkongsi pendapat bahawa Tuhfat al-Nafis dipandang sebagai sumber terpenting dalam pensejarahan Melayu selepas Sejarah Melayu. Manakala dalam bidang sejarah, beliau berusaha membuat catatan sejarah yang lengkap tentang keturunan Raja-raja Melayu dan Bugis dalam bentuk penulisan kreatif yang terakam dalam Tuhfatul Nafis dan Salasilah Melayu Bugis dan Sekalian Raja-rajanya. Beliau merupakan tokoh pertama yang menggarap penulisannya secara lebih realistik sekaligus mengurangkan unsur-unsur mitos, dongeng dan khayalan dalam penghasilan karya.
Walaupun terdapat pembaharuan-pembaharuan dalam hasil karangan beliau, Raja Ali Haji tetap dianggap pengarang klasik. Beliau bergaul dengan sarjana-sarjana dan pembesar-pembesar Barat. Namun demikian, hal ini tidak banyak mempengaruhi beliau dalam pelbagai bidang, khususnya dalam bidang penulisan. Dalam hal ini, Raja Ali Haji berbeza dengan Abdullah bin Abdul Kadir Munsyi, yang menurut R.Roolvink dalam Mohamad Daud Mohamad (1987) telah berada di perbatasan kebudayaan Timur dan Barat. Abdullah sudah keluar daripada lingkungan masyarakatnya sendiri walaupun tidak secara keseluruhan. Raja Ali Haji dapat menghargai nilai-nilai peradaban Barat, namun demikian beliau menganggap nilai-nilai Barat tidak sesuai dengan masyarakat Melayu. Pujangga ulung ini tetap berdiri teguh dalam lingkungan kebudayaan Melayu dan dengan keras mempertahankan nilai-nilainya.




2.2       Hamzah Fansuri

2.2.1    Latar belakang Hamzah Fansuri

Hamzah Fansuri atau nama sebenar beliau Syeikh Hamzah al-Fansuri dilahirkan di Barus atau Fansur dilahirkan pada pertengahan abad ke-16. Barus atau Fansur merupakan wilayah dibawah kekuasaan Acheh pada masa itu. Fansur merupakan sebuah kampung yang terletak di antara Kota Singkel dengan Gosong Telaga. Pendapat lain menyatakan bahawa beliau dilahirkan di Syahrun Nawi atau Ayuthia di Siam dan berhijrah kemudian menetap di Barus.
Ayah Syeikh Hamzah al-Fansuri bernama Syeikh Ismail Aceh pernah memegang jawatan sebagai gabenor di Kota Sri Banoi. Syeikh Ismail Aceh meninggal dunia semasa bertempur dengan orang Yuwun (Annam) di Phanrang. Syeikh Hamzah al-Fansuri telah belajar berbagai-bagai ilmu dan mengembara ke pelbagai tempat seperti Bentan, Semenanjung Tanah Melayu, Parsi dan Arab. Beliau sangat mahir dalam kesusasteraan Melayu, ilmu-ilmu fikah, tasawuf, falsafah, mantiq, ilmu kalam dan sastera. Menurut Muhammad Naquib al-Attas, Hamzah Fansuri diperkirakan meninggal pada tahun 1607. Beliau merupakan salah satu tokoh semasa pemerintahan Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam Syah (1606/1607-1636 TM) yang telah menghasilkan beberapa naskah sastera dan kekal sehingga pada masa kini.



2.2.2    Peranan dan Sumbangan Hamzah Fansuri

Syeikh Hamzah Fansuri ialah seorang ulama dan pujangga besar Melayu. Beliau merupakan penyair Melayu pertama yang mengubah syair-syair bersifat agama. Syair-syair beliau yang menakjubkan telah menjadikan beliau seorang yang sangat terkemuka dalam kalangan orang-orang Melayu. Syeikh Hamzah al-Fansuri telah memberikan banyak sumbangan dalam bidang sastera. Hal ini terbukti melalui karya-karya beliau. Hamzah Fansuri telah memberi sumbangan yang baik dalam bidang puisi sehingga beliau digelar sebagai pelopor puisi Islam yang bersifat agama dan tasawuf atau sufi. Antara karya beliau ialah Ruba’i Hamzah Fansuri. Syair ini mengandungi 42 buah rangkap yang berinti ajaran Wahdatul Wujud. Selain itu, beliau juga menghasilkan syair-syair  lain seperti Syair Perahu, Si Burung Pungguk, Syair Dagang dan Syair Si Fakir. Syair-syair Hamzah Fansuri merupakan syair Melayu yang tertua, mempunyai sifat mistikal dan melambangkan perhubungan Tuhan dengan manusia. Syair beliau dikategorikan sebagai syair tauhid atau makrifat.
Dalam bidang ilmu sastera, Hamzah Fansuri telah mempelopori penulisan risalah tasawuf atau keagamaan yang bersifat mistik dan bersifat ilmiah. Selain itu, beliau merupakan orang pertama yang memperkenalkan skema akhir a-a-a-a dalam puisi empat baris sebagai pengucapan sastera. Menurut R.O Winstedt dalam Seri Lanang Jaya et.al (2016), syair-syair yang yang dihasilkan oleh Hamzah Fansuri menggunakan irama pantun. Kedalaman kandungan puisi-puisi beliau sangat sukar ditandingi oleh penyair-penyair lain yang sezaman atau selepasnya. Manakala dari sudut lain, karya-karya yang dihasilkan oleh Hamzah Fansuri tidak disenangi dan telah menghadapi kritikan daripada dunia politik dan raja-raja sehingga menyebabkan beliau tidak disenangi oleh kalangan istana.
Sumbangan lain Hamzah Fansuri adalah dalam bidang ilmu tasawuf. Menurut Francois Valentijn dalam Seri Lanang Jaya et.al (2016), Hamzah Fansuri mempunyai kekuatan luar biasa sebagai pengarang Islam. Kenyataan ini disokong oleh pendapat R.O Winstedt (1923) yang menyatakan bahawa Hamzah Fansuri merupakan orang pertama yang menulis ilmu tasawuf dalam bentuk sastera. Hamzah Fansuri bukan sahaja seorang ulama tasawuf dan sasterawan terkemuka tetapi juga seorang perintis dan pelopor kepada pembaharuan. Sumbangan beliau sangat besar terhadap perkembangan kebudayaan Islam di Nusantara, khususnya dalam bidang kerohanian, keilmuan, falsafah, bahasa, dan sastera.


Karya-karya Hamzah Fansuri adalah seperti berikut:
Asrar al-Arifin (Rahsia Orang yang Bijaksana)
Sharab al-Asyikin (Minuman Segala Orang yang Berahi)
Zinat al-Muwahidin (Perhiasan Sekalian Orang yang Mengesakan).
Syair Si Burung Pingai
Syair Si Burung Pungguk
Syair Sidang Fakir
Syair Dagang
Syair Perahu


3.0       Kesimpulan
Secara umumnya kedua-dua tokoh sastera ini telah memberikan satu gambaran terhadap kehidupan bangsa Melayu khususnya. Sumbangan kedua-dua tokoh ini telah memberikan impak yang kuat terhadap bidang sastera Melayu. Hal seumpama ini sangatlah wajar diberikan pengiktirafan yang tinggi dan diletakkan di tempat yang istemewa. Karya-karya sastera yang dihasilkan oleh kedua-dua tokoh ini sangatlah memberikan haluan dan status kepada dunia penulisan dan dunia sastera. Walaupun kedua-dua tokoh ini mempunyai perbezaan dari segi falsafah, namun kedua-duanya masih mempunyai keunikan yang tersendiri.
Karya agung telah membawa sesuatu masyarakat tersebut kepada pembinaan tamadun yang lebih baik. Oleh sebab itu, nilai dan falsafah karya-karya agung sastera klasik sangat penting diterapkan dalam setiap masyarakat bagi membentuk komuniti yang mempunyai tamadun unggul. Hal ini kerana seseorang perlu hidup berlandaskan nilai norma masyarakat agar tidak menyimpang daripada landasan hidup.



Bibliografi
A. Hasjmy, (1976). Rubai Hamzah Fansuri. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Mohd Rashid Md Idris, Abd. Rahman Napiah dan Seri Lanang Jaya (2014). Karya Agung Melayu. Tanjong Malim: Universiti Pendidikan Sultan Idris.
Sahlan Mohd Saman (1994). Pengarang dan Kepengarangan Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Seri Lanang Jaya, Abd. Rahman Napiah dan Mohd Rashid Md Idris, (2016). Karya Agung Melayu. Tanjong Malim: Universiti Pendidikan Sultan Idris.

Wednesday, 25 May 2016

Video Pembentangan

Klik di sini

Slaid Pembentangan Novel Salina

Klik di sini

Pandangan Hidup dalam Novel Salina

Kamus Dewan Edisi Keempat (2010) mendefinisikan istilah ‘pandangan’ kepada beberapa maksud iaitu hasil perbuatan memandang, apa-apa yang terlihat (tergambar) di mata hasil daripada perbuatan memandang, apa-apa yang menjadi perhatian dan juga bermaksud anggapan. Istilah ‘hidup’ pula mempunyai terlalu banyak maksud, namun dalam konteks ini, istilah ‘hidup’ sesuai didefinisikan sebagai keadaan yang sebenarnya atau dilihat (lukisan, cerita dan lain-lain). Apabila dua istilah ini disatukan menjadi pandangan hidup, maka dapatlah difahami bahawa ‘pandangan hidup’ merujuk kepada ‘anggapan terhadap keadaan yang sebenarnya atau dilihat’. 
Menurut Mohd Rashid Md. Idris, Abdul Rahman Napiah dan Seri Lanang Jaya (2014), konsep pandangan hidup secara umumnya mengenai pandangan hidup alam semesta secara keseluruhan terutamanya dilihat melalui satu sudut pandangan yang dipengaruhi oleh satu sistem nilai yang tertentu. Selain itu, mereka turut berpendapat bahawa pandangan hidup merupakan suatu konsep yang dimiliki oleh masyarakat atau komuniti tertentu, bertujuan untuk menanggapi dan menerangkan segala permasalahan yang berkaitan dengan Tuhan, manusia dan alam. Setiap masyarakat, khususnya orang Melayu mempunyai pandangan hidup yang lazimnya melibatkan hubungan manusia dengan Tuhan, alam dan hubungan sesama manusia serta terperinci kepada tiga bahagian iaitu bahagian keluarga, pemimpin dan masyarakat.


                        4.6.1    Amalan Pantang Larang
Masyarakat pada zaman novel Salina masih mempercayai dan mengamalkan pantang larang dalam hidup mereka. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2010), pantang larang merupakan sesuatu perkara yang dilarang untuk melakukannya berikutan adat dan kepercayaan sesebuah masyarakat. Pantang larang ini sudah diamalkan sejak turun-temurun sehingga kini. Kabanyakkan pantang larang tersebut diamalkan bagi memelihara tingkah laku anggota masyarakatnya. Berdasarkan novel Salina terdapat pantang larang yang diamaalkan oleh masyarakat Melayu yang ditonjolkan oleh penulis seperti berikut:
“Tak baik menyabung kaki tahu?” kata ibunya menegurnya sambil terbatuk-batuk kecil. Hilmi mendongak, tersenyum alalu bertanya, “Mak percaya?”
“Pasal apa pula tak percaya? Orang-orang dulu cakap,” jawab ibunya dengan tidak memandang Hilmy. Hilmy tersenyum lagi, dan berkata, “Jadi kalau Hilmy menyabung kaki, emak Hilmy akan matilah, ya?”
“Mmmmmmm,mmm,” kata Katijah sambil mengangguk-anggukkan kepalanya.
“Kalau Hilmy tidak menyabung kaki maka tak matilah?” tanya Hilmy; dari air mukanya yang nyata benar dinantinya jawapan ibunya.
Katijah diam sahaja. Memang selalu anaknya bertanya begitu, dan bila pertanyaan serupa itu dikemukakan kepadanya, dia sentiasa menjawab sebaik-baiknya.”
(Salina, 1961:190)
       
Berdasarkan contoh petikan di atas, masayarakat Melayu pada zaman itu masih mengamalkan pantang larang menyabung kaki. Hakikatnya, perbuataan sebegitu dianggap kurang sopan khususnya kepada anak gadis. Hal ini demikian kerana, pada zaman itu, anak gadis memakai kain batik atau sarung yang akan menyebabkan kainnya terselak apabila anak gadis menyabung kaki. Oleh sebab itu, perbuataan ini dianggap sebagai larangan mahupun kepada lelaki kerana lelaki tersebut akan berkeluarga nanti. Oleh itu, pantang larang ini diamalkan sejak turun-temurun bagi memelihara tingkah laku manusia supaya sentiasa menjaga adab sopan walaupun di rumah.


                        4.6.2    Amalan Kepercayaan Karut
Kepercayaan karut turut diamalkan oleh masayarakat Melayu dalam novel Salina. Kepercayaan karut ini juga turut diamalkan sejak turun-temurun sehingga kini. Kepercayaan ini diamalkan berdasarkan latar masyarakat dan tempat dalam sesebuah karya. Masyarakat Melayu semasa zaman Siti Salina merupakan antara masyarakat yang terdiri daripada golongan miskin dan tinggal di kampung yang masih jauh daripada perkembangan pembangunan. Penulis memasukkan kepercayaan masyarakat terhadap bunyi salakan anjing yang akan membawa berita baik merupakan contoh kepercayaan karut yang diamalkan oleh masyarakat Melayu ketika itu:
“Suara anjing menyalak kedengaran; suara lima ekor anjing. Selalunya begitulah di Kampung Kambing kalau ada orang pulang malam-malam. Salakan anjing menjadi isyarat yang baik – memberitahu kedatangan seseorang ke Kampung Kambing walaupun di luar kampung itu ataupun di dalamnya, sama ada orang datang itu orang kampung Kambing, orang yang tinggal di berek P.W.D ataupun orang yang tinggal di tempat lain tetapi datang ke situ.”
(Salina, 1961:198)

Kepercayaan-kepercayaan karut sepatutnya dikikis dan dihapuskan dalam minda seseorang. Hal ini akan menyebabkan pemikiran seseorang itu akan berada di takuk yang lama dengan menentukan baik buruk sesuatu peristiwa berdasarkan sesuatu peristiwa yang tidak masuk akal.


                        4.6.3    Pandangan Serong Terhadap Pekerjaan Pelayan
Pandangan serong merangkumi persepsi negatif atau tidak elok kepada sesuatu perkara. Pandangan serong ini lazimnya berlaku rentetan daripada kejadian atau peristiwa sumbang yang dilakukan oleh sesetengah pihak atau tingkah laku yang tidak elok sehingga pandangan negatif diberikan. Merujuk novel Salina ang dikaji, pandangan hidup masyarakat yang dapat dikenal pasti ialah pandangan serong sesetengah masyarakat terhadap pekerjaan sebagai pelayan.
Hal ini demikian kerana, pengarang telah menyelitkan pekerjaan sebagai pelayan sebagai pekerjaan dominan kaum wanita di Kampung Kambing. Namun begitu, sesetengah masyarakat di kawasan tersebut memandang rendah terhadap pekerjaan tersebut dengan beranggapan bahawa pekerjaan tersebut keji dan jijik. Berikut merupakan contoh petikan novel yang menggambarkan pandangan hidup sedemikian:

“kau tau,“ kata Cik Salim bila dia fikir sendiri sudah mula merasa puas, “jangan kaufikir jadi pelayan kau endah melayan dari jauh saja hah, hah? Pelayan bukan gitu, tau? Pelayan datang melayan dekat-dekat. Pelayan duduk dekat orang yang dilayannya. Pelayan duduk di atas pangkuan orang. Pelayan ikut saja cakap orang yang dilayannya, tau?
(Salina, 1961:300)

Berdasarkan keratan petikan novel tersebut dapat dilihat bahawa pandangan hidup sesetengah masyarakat pada ketika itu yang memandang keji terhadap pekerjaan sebagai pelayan. Hal ini demikian kerana, mereka meletakkan tanggapan bahawa pekerjaan pelayan hanya bekerja untuk melayan orang lain atau pengunjung dari segi zahir dan batin. Kesannya, pelayan dianggap seperti murahan dan tidak bermaruah kerana terlibat dengan pekerjaan sedemikian.


                        4.6.4    Pentingnya Menjaga Maruah Diri
Dalam novel Salina, abang Nahidah, iaitu Mansur sering menasihati Nahidah supaya sentiasa menjaga maruah dan nama baiknya kerana bagi Mansur tiada yang lebih berharga di dalam dunia ini melainkan nama baik dan maruah diri. Contoh peristiwa boleh dilihat di bawah:
Abangnya suka, bercakap kepadanya tentang beberapa hal, bercakap sekali tentang rancangannya selepas habis sainnya dengan sojar itu, dan meminta sekali lagi supaya adiknya itu menjaga dirinya baik-baik, mengingatkan bahawa tidak ada yang lebih berharga di dalam dunia ini selain meninggalkan nama yang baik.
                                                                                                            (Salina, 1961: 435)
Berdasarkan contoh petikan di atas, Mansur sangat menyayangi adiknya, Nahidah dan sentiasa menasihati adiknya supaya meninggalkan pekerjaan sebagai pelayan. Walaupun Mansur mengetahui bahawa adiknya terpaksa bekerja sebagai pelayan kerana ibu tirinya, Mansur sentiasa berpesan kepada Nahidah supaya menjaga maruah dirinya dan tidak terlanjur melayani lelaki-lelaki di tempat kerjanya walaupun dibayar dengan harga yang tinggi. Hal ini kerana harga diri merupakan benda yang tidak ternilai yang dimiliki oleh semua manusia. Oleh sebab itu, kita seharusnya menjaga harga diri seperti kita menjaga nyawa kita. Harga diri memperlihatkan perlakuan atau perangai yang dimiliki oleh seseorang sama ada baik atau buruk.



5.0       Kesimpulan
Kesimpulannya, novel Salina sangat layak untuk dianggap sebagai sebuah karya agung yang unggul kerana kandungannya yang mengandungi nilai estetika yang tinggi dari aspek kepengarangannya. Aspek-aspek yang telah ditemui oleh pengkaji dalam novel ini telah memperlihatkan kebolehan dan keunggulan pengarang dalam menyampaikan mesej dan pemikirannya kepada khalayak pembaca. Aspek-aspek sebuah karya yang unggul seperti mesej, budaya, nilai, pandangan hidup, ilmu dan estetika dan kepengarangan dalam novel ini jelas memperlihatkan idealisme A. Samad Said ketika berkarya. Karya-karya sebegini perlu diteruskan oleh pengarang-pengarang zaman ini supaya dapat meneruskan kegemilangan dalam bidang kesusasteraan Melayu.


Nilai Budaya

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2010) mendefinisikan nilai sebagai darjat, kualiti, mutu dan taraf serta sifat ketinggian pemikiran, agama, kemasyarakatan dan lain-lain. Berdasarkan definisi tersebut kita dapat rumuskan bahawa nilai berkait rapat antara satu sama lain bagi menghasilkan sesuatu yang berkualiti. Manakala budaya pula bermaksud tamadun, peradaban, bersifat budaya, yang mengenai kebudayaan. Budaya juga merupakan suatu cara hidup yang berkembang dan dimiliki bersama oleh sebuah kelompok manusia dan diwariskan dari satu generasi ke satu generasi lain. Sesuatu perkara yang menjadi kebiasaan dan ikutan menjadi budaya termasuklah sistem agama dan politik, adat istiadat, bahasa, perkakasa, pakaian, dan karya seni. Jelaslah sekarang bahawa nilai dan budaya mempunyai perkaitan antara satu sama lain yang menjadi panduan dan ikutan bagi sesebuah kelompok masyarakat.
Menurut Mohd. Rashid Hj. Md. Idris, Abd, Rahman Napiah, dan Seri Lanang Hj. Rohani (2015), budaya daripada perkataan Sanskrit iaitu duddayah yang merupakan perkataan jamak bagi perkataan buddhi yang bermaksud budi pekerti atau akal. Secara umumnya, budaya bermaksud segala sesuatu yang dibawa atau dikerjakan oleh manusia. Dalam bahasa Inggeris pula budaya disebut sebagai culture yang berasal daripada perkataan Latin iaitu colore yang bermaksud menanam atau mengerjakan. Segala sesuatu yang terdapat dalam sesebuah masyarakat mempunyai hubung kait atau boleh ditentukan oleh kebudayaan yang dimiliki masyarakat itu sendiri. Fahaman ini dikenali dalam kalangan ahli antropologi sebagai fahaman determinism atau penentuan budaya. Selain itu, budaya juga adalah sesuatu yang diperturunkan daripada satu generasi ke generasi seterusnya dan konsep ini disebut sebagai organik lampau.
                        4.5.1    Nilai Ketabahan dalam Menghadapi Dugaan Hidup
Nilai ketabahan ini dapat dilihat menerusi watak Siti Salina yang cekal dalam menghadapi dugaan hidup setelah ahli keluarganya meninggal dunia akibat terkena bom semasa Perang Dunia Kedua. Berikutan dengan itu, Siti Salina mula terjebak dengan pelacuran kerana Siti Salina mengalami kesempitan hidup. Dalam masa yang sama, Abdul Fakar turut mengambil kesempatan terhadapnya dengan memukul dan memarahinya. Contoh petikan adalah:
“Kenapa kau sanggup diseksa orang sampai begitu?” Katijah bersuara sambil terbatuk-batuk dua tiga kali.
(Salina, 1961:524)
Petikan menunjukkan Katijah telah bertanya kepada Siti Salina mengenai penyeksaan yang telah menimpa dirinya. Kita sebagai manusia biasa perlu mempunyai sikap yang tabah dalam hidup bagi menmpuh hari yang akan datang. Sikap yang tabah dan sanggup mengharungi cabaran yang mendatang akan menguatkan diri kita untuk meneruskan kehidupan.
                        4.5.2    Mengenang Budi
Dalam novel Salina ini dapat dilihat nilai budaya, iaitu nilai mengenang budi. Nilai ini ditonjolkan pada watak Sunarto yang mengenang budi ayah angkatnya, iaitu Mutalib yang menyelamatkannya yang menghidap penyakit demam malaria sewaktu dibawa oleh tentera Jepun ke Siam. Walaupun ayah angkatnya telah meninggal dunia dan dirinya sering diherdik dan dihina oleh Zarina namun dia tetap tinggal di rumah Zarina kerana ingin membalas jasa ayah angkatnya dengan menjaga Nahidah dan Mansur dengan baik. Hal ini hasil daripada didikan ayah angkatnya yang sering bercerita kepadanya tentang budi bahasa dan dia masih mengingati kata-kata ayahnya, iaitu:
Sewaktu di kampungnya dahulu ayahnya sendiri sering bercerita kepadanya tentang budi bahasa. Walaupun di masa itu tidak diketahuinya sungguh-sungguh apa sebenarnya budi bahasa itu dalam erti yang mendalam, tetapi kata-katanya “budi baik jangan kau lupakan sehingga bila-bila” itu tetap semarak itulah yang menghalangnya untuk meninggalkan keluarga Zarina-keluarganya. Ya, budi baik orang tak boleh kulupa sampai bila-bila, bisik Sunarto di dalam hatinya.
(Salina, 1961:62) 
Nilai ini seharusnya ditanam dalam diri masyarakat kita hari ini untuk menjaga hubungan silaturrahaim sesama masyarakat. Dengan adanya nilai ini dalam diri kita, kita akan lebih dihormati dan dihargai oleh masyarakat sekeliling. Budi baik yang diberikan kepada kita seharusnya kita hargai dengan membalasnya dalam apa jua keadaan khusunya apabila mereka dalam kesusahan.
                        4.5.3    Mengambil Berat Demi Kebaikan Orang Lain
Nilai ini dapat dilihat berdasarkan watak Katijah. Katijah sering menasihati Siti Salina agar meninggalkan Abdul Fakar yang selama ini menganiaya dan menyeksa Siti Salina. Katijah juga sering bertanyakan sebab Siti Salina terlalu menyayangi Abdul Fakar sedangkan Abdul Fakar sering mempergunakan Siti Salina, tetapi Siti Salina tidak pernah merungut dan membiarkan sahaja dia diperlakukan begitu. Contohnya dapat dilihat pada petikan yang berikut:
“Saya tak adil selama ini, kak,” katanya kepada Katijah. Katijah kehairanan juga mendengar jawapan itu.
Kenapa?”
“Sebab selama ini saya tak ambil berat segala apa kakak nasihatkan. Bukan saya tak tau apa yang kak masihatkan itu benar, tapi entahlah, saya tak mau menerima nasihat itu sehinggalah sekarang ini. Sekarang ini barulah saya sedar apa yang kakak nasihatkan itu ialah untuk kebaikan saya. Dan saya akan ikut sekarang,” kata Siti Salina.
(Salina, 1961: 527)

Kita seharusnya menegur ataupun memberi nasihat kepada sesiapa sahaja yang dirasakan melakukan kesilapan dalam hidup mereka. Hal ini dapat membantu mereka dalam memperbaiki cara hidup mereka pada hari akan datang dengan lebih baik. Walau bagaimanapun cara untuk memberi nasihat kepada seseorang haruslah dengan cara yang betul supaya mereka dapat menerima segala teguran kita. Sekiranya sikap mengambil berat daripada nasihat ini dapat ditonjolkan, kita dapat membuktikan kepada seseorang bahawa kita mempunyai nilai kasih sayang terhadapnya.
                        4.5.4    Bertolak Ansur
Bertolak ansur merupakan sikap yang sangat penting terutama dalam hidup berkeluarga dan bermasyarakat. Sikap bertolak ansur yang terdapat dalam novel Salina boleh dilihat pada sikap Kurupaya yang dinyatakan oleh Nahidah sebagai seorang yang baik dan tidak menyombong serta seorang yang sangat bertolak ansur. Contoh boleh dilihat di bawah:
“Kurupaya boleh tunggu sampai saya habis cuci?” tanya Nadihah mengharapkan Kurupaya akan mengasihaninya. Dia tahu Kurupaya baik. Walaupun Kurupaya membuat wang kerana menyewakan kandang-kandang kambingnya itu tetapi dia tidak pula menyombong atau kejam seperti tuan-tuan punya rumah di kampung lain. Kurupaya Samy lebih dapat menyelami hati dan kesusahan penyewa-penyewa bilik rumahnya dan terkadang-kadang kalau penyewa-penyewanya lambat membayar sewa bilik mereka- sehingga ke satu bulan – dia tidak akan memintanya pun. (Biar pun dia sebenarnya- lebih suka kalau wang sewa rumah itu dapat dikemukakan pada hari yang telah ditetapkan, lima belas hari bulan).
 (Salina, 1961:433)

Sikap bertolak ansur merupakan sikap yang sukar dimiliki oleh seseorang pada masa kini. Hal ini kerana, masyarakat hari ini saling tidakmahu mengalah antara satu sama lain. Sikap bertolak ansur seharusnya disemai dari kecik supaya menjadi insane yang dihormati dan disayangi ramai. Dengan terpeliharanya sikap ini, hubungan sesama manusia juga akan lebih bertambah erat kerana dapat mengelakkan daripada berlakunya perkara yang tidak diingini.