Sunday, 5 June 2016




Rakan-rakan Pembangun Blog:







Pengenalan Blog

Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera,
 

Pembangunan blog ini secara khususnya bertujuan untuk memenuhi jam kredit bagi kursus BMS 3022 Karya Agung Melayu tahun 2016 Kumpulan A (2) dan memberi maklumat kepada pembaca tentang karya agung klasik dan karya agung moden secara amnya. Semoga blog ini dapat membantu pelawat-pelawat yang mencari maklumat dan rujukan.

Kami merupakan pelajar semester 8 2015/2016 Universiti Pendidikan Sultan Idris bagi program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Bahasa Melayu. 

Dalam blog ini dimuatnaikkan analisis mengenai karya agung tradisional iaitu Hikayat Raja-raja Pasai dan Karya Agung Moden iaitu Novel Salina. Dalam blog ini juga terdapat analisis mengenai tokoh-tokoh karya agung Melayu serta peranan dan sumbangan masing-masing terhadap perkembangan bahasa dan peradaban Melayu.

Aspek karya-karya agung yang dibincangkan dalam blog ini adalah seperti berikut: 

  1. Pemikiran, 
  2. Falsafah 
  3. Nilai Budaya, 
  4. Pandangan Hidup, 
  5. Estetika dan Kepengarangan,  
  6. Nilai Ilmu.


Tokoh dan Sumbangan

1.0       Pengenalan
Karya agung merupakan asas pembinaan tamadun sesuatu bangsa. Menurut Seri Lanang Jaya et.al (2016), karya agung boleh ditakrifkan sebagai karya yang mempunyai nilai yang tahan zaman. Karya agung mempunyai nilai yang tinggi sebagai khazanah budaya dan ilmu sesuatu bangsa. Karya agung dianggap tinggi nilainya kerana kandungan nilai dan falsafah dalam sesebuah karya tersebut memberikan suatu impak yang sangat tinggi kepada sesuatu masyarakat. Karya agung sebagai khazanah dalam sesebuah bangsa kerana karya ini dijaga dan kekal digunakan sehingga pada masa kini.
Menurut Hassan Ahmad (2005), tamadun sesebuah bangsa merupakan warisan daya cipta masyarakat tersebut yang boleh dikesani dan dihayati melalui karya-karya terdahulu. Biasanya karya-karya ini terhasil melalui penulisan oleh bijak pandai seperti ahli falsafah, seniman, ahli pemikir, karyawan dan ilmuan sesuatu bangsa. Hal ini bermaksud bahawa sesebuah karya mestilah mempunyai asal sama ada dicipta secara lisan mahupun secara tulisan. Sesebuah karya yang wujud tidak akan lahir begitu sahaja melainkan ada penulis atau pengkarya.
Dalam penulisan ini, pengkaji membincangkan dua tokoh yang sinonim dengan karya-karya agung yang telah dipelajari. Penulisan ini akan membincangkan aspek-aspek yang berkaitan dengan latar belakang tokoh pengarang karya agung. Seterusnya penullisan ini membincangkan secara mendalam lagi berkaitan dengan peranan-peranan atau sumbangan tokoh-tokoh tersebut  dalam pelbagai aspek khususnya dalam penulisan karya-karya. Tokoh yang akan dibincangkan dalam penulisan ini adalah Raja Ali Haji dan Syeikh Hamzah Fansuri.




2.0       Tokoh dan Sumbangan

2.1         Raja Ali Haji

2.1.2    Latar belakang Raja Ali Haji
Raja Ali Haji bin Raja Ahmad Haji atau lebih dikenali sebagai Raja Ali Haji merupakan salah satu tokoh sastera klasik yang sangat mahsyur. Beliau dilahirkan di Penyengat, Riau pada tahun 1809. Beliau sangat dikenali melalui karya penulisan Tuhfat al-Nafis. Ketika berusia 11 tahun, Raja Ali Haji menunaikan haji bersama ayahnya, Raja Ahmad dan tinggal di sana selama beberapa tahun. Semasa berada di Arab, beliau telah belajar bahasa Arab, pengetahuan agama serta ilmu sufi yang amat berguna dalam bidang sastera.
Setelah pulang ke Riau, beliau menjadi penasihat Yamtuan Muda Riau dalam bidang agama dan undang-undang. Ketika itu, Pulau Penyengat menjadi pusat kebudayaan Melayu dan pusat tumpuan ilmu pengetahuan, khususnya Islam. Beliau memiliki pengetahuan yang tinggi dalam bahasa Melayu dan Arab serta alim dalam hal ehwal agama Islam. Raja Ali Haji terkenal sebagai ahli tawarikh dan politik semasa hidupnya. Bakat-bakat ilmiah, sastera dan politik yang ada pada dirinya adalah diwarisi daripada ayahnya. Sekiranya mempunyai kelapangan, beliau akan mengarang buku dan antara anak muridnya yang terkenal termasuklah Yang Dipertuan Muda Riau sendiri dan Syed Syeikh al-Hadi dari Melaka (bapa novel Melayu). Beliau meninggal dunia pada tahun 1870.


2.1.2    Peranan dan Sumbangan Raja Ali Haji

Raja Ali Haji banyak memberikan sumbangan dalam pelbagai bidang. Menurut (Mohd. Sharifudin Yusop dan Mohd. Lani Sobi, 1999), Raja Ali Haji muncul sebagai tokoh yang sangat dikenali dan memberi sumbangan dalam bidang bahasa, kesusasteraan, sejarah, politik dan juga tokoh agama yang ulung pada zamannya. Secara umumnya, beliau telah memberikan sumbangan yang amat penting terhadap persuratan Melayu. Daya kreativitinya dan kepekaannya terhadap masalah atau kesukaran yang berlaku di sekelilingnya menjadikan beliau begitu masyhur. Dalam bidang agama, beliau menjadi guru kepada Yamtuan Muda Riau selain mengajarkan agama Islam kepada pembesar dan rakyat jelata. Beliau turut menghasilkan karya-karya berteraskan Islam seperti Gurindam Dua Belas, Syair Abdul Muluk, Syair Suluh Pegawai dan Syair Sinar Gemala Mustika Alam.
Selain itu, beliau juga telah memberikan sumbangan dalam bidang sejarah. Dalam bidang sejarah, beliau telah menghasilkan dua buah kitab sastera sejarah yang penting terutamanya bagi keturunan raja-raja Bugis iaitu Tuhfat al-Nafis dan Salasilah Melayu Bugis dan Sekalian Raja-rajanya. Sebagai tokoh bahasa, beliau menghasilkan pula Bustanul Katibin dan Kitab Pengetahuan Bahasa. Raja Ali Haji seorang tokoh yang dianggap mempunyai sumbangan yang amat tinggi berdasarkan penelitian karya-karyanya yang meliputi pelbagai bidang itu. Manakala dalam bidang bahasa, beliau telah dikenali sebagai orang pertama yang menulis tentang tatabahasa bahasa Melayu dalam Bustanul Katibin dan cuba menyusun sebuah kamus Melayu melalui Kitab Pengetahuan Bahasa.
Menurut Wan Samsuddin Mohd. Yusoff (1976), mengenai bukunya Tuhfatul Nafis, C. Hooykaas dan R.O Winstedt berkongsi pendapat bahawa Tuhfat al-Nafis dipandang sebagai sumber terpenting dalam pensejarahan Melayu selepas Sejarah Melayu. Manakala dalam bidang sejarah, beliau berusaha membuat catatan sejarah yang lengkap tentang keturunan Raja-raja Melayu dan Bugis dalam bentuk penulisan kreatif yang terakam dalam Tuhfatul Nafis dan Salasilah Melayu Bugis dan Sekalian Raja-rajanya. Beliau merupakan tokoh pertama yang menggarap penulisannya secara lebih realistik sekaligus mengurangkan unsur-unsur mitos, dongeng dan khayalan dalam penghasilan karya.
Walaupun terdapat pembaharuan-pembaharuan dalam hasil karangan beliau, Raja Ali Haji tetap dianggap pengarang klasik. Beliau bergaul dengan sarjana-sarjana dan pembesar-pembesar Barat. Namun demikian, hal ini tidak banyak mempengaruhi beliau dalam pelbagai bidang, khususnya dalam bidang penulisan. Dalam hal ini, Raja Ali Haji berbeza dengan Abdullah bin Abdul Kadir Munsyi, yang menurut R.Roolvink dalam Mohamad Daud Mohamad (1987) telah berada di perbatasan kebudayaan Timur dan Barat. Abdullah sudah keluar daripada lingkungan masyarakatnya sendiri walaupun tidak secara keseluruhan. Raja Ali Haji dapat menghargai nilai-nilai peradaban Barat, namun demikian beliau menganggap nilai-nilai Barat tidak sesuai dengan masyarakat Melayu. Pujangga ulung ini tetap berdiri teguh dalam lingkungan kebudayaan Melayu dan dengan keras mempertahankan nilai-nilainya.




2.2       Hamzah Fansuri

2.2.1    Latar belakang Hamzah Fansuri

Hamzah Fansuri atau nama sebenar beliau Syeikh Hamzah al-Fansuri dilahirkan di Barus atau Fansur dilahirkan pada pertengahan abad ke-16. Barus atau Fansur merupakan wilayah dibawah kekuasaan Acheh pada masa itu. Fansur merupakan sebuah kampung yang terletak di antara Kota Singkel dengan Gosong Telaga. Pendapat lain menyatakan bahawa beliau dilahirkan di Syahrun Nawi atau Ayuthia di Siam dan berhijrah kemudian menetap di Barus.
Ayah Syeikh Hamzah al-Fansuri bernama Syeikh Ismail Aceh pernah memegang jawatan sebagai gabenor di Kota Sri Banoi. Syeikh Ismail Aceh meninggal dunia semasa bertempur dengan orang Yuwun (Annam) di Phanrang. Syeikh Hamzah al-Fansuri telah belajar berbagai-bagai ilmu dan mengembara ke pelbagai tempat seperti Bentan, Semenanjung Tanah Melayu, Parsi dan Arab. Beliau sangat mahir dalam kesusasteraan Melayu, ilmu-ilmu fikah, tasawuf, falsafah, mantiq, ilmu kalam dan sastera. Menurut Muhammad Naquib al-Attas, Hamzah Fansuri diperkirakan meninggal pada tahun 1607. Beliau merupakan salah satu tokoh semasa pemerintahan Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam Syah (1606/1607-1636 TM) yang telah menghasilkan beberapa naskah sastera dan kekal sehingga pada masa kini.



2.2.2    Peranan dan Sumbangan Hamzah Fansuri

Syeikh Hamzah Fansuri ialah seorang ulama dan pujangga besar Melayu. Beliau merupakan penyair Melayu pertama yang mengubah syair-syair bersifat agama. Syair-syair beliau yang menakjubkan telah menjadikan beliau seorang yang sangat terkemuka dalam kalangan orang-orang Melayu. Syeikh Hamzah al-Fansuri telah memberikan banyak sumbangan dalam bidang sastera. Hal ini terbukti melalui karya-karya beliau. Hamzah Fansuri telah memberi sumbangan yang baik dalam bidang puisi sehingga beliau digelar sebagai pelopor puisi Islam yang bersifat agama dan tasawuf atau sufi. Antara karya beliau ialah Ruba’i Hamzah Fansuri. Syair ini mengandungi 42 buah rangkap yang berinti ajaran Wahdatul Wujud. Selain itu, beliau juga menghasilkan syair-syair  lain seperti Syair Perahu, Si Burung Pungguk, Syair Dagang dan Syair Si Fakir. Syair-syair Hamzah Fansuri merupakan syair Melayu yang tertua, mempunyai sifat mistikal dan melambangkan perhubungan Tuhan dengan manusia. Syair beliau dikategorikan sebagai syair tauhid atau makrifat.
Dalam bidang ilmu sastera, Hamzah Fansuri telah mempelopori penulisan risalah tasawuf atau keagamaan yang bersifat mistik dan bersifat ilmiah. Selain itu, beliau merupakan orang pertama yang memperkenalkan skema akhir a-a-a-a dalam puisi empat baris sebagai pengucapan sastera. Menurut R.O Winstedt dalam Seri Lanang Jaya et.al (2016), syair-syair yang yang dihasilkan oleh Hamzah Fansuri menggunakan irama pantun. Kedalaman kandungan puisi-puisi beliau sangat sukar ditandingi oleh penyair-penyair lain yang sezaman atau selepasnya. Manakala dari sudut lain, karya-karya yang dihasilkan oleh Hamzah Fansuri tidak disenangi dan telah menghadapi kritikan daripada dunia politik dan raja-raja sehingga menyebabkan beliau tidak disenangi oleh kalangan istana.
Sumbangan lain Hamzah Fansuri adalah dalam bidang ilmu tasawuf. Menurut Francois Valentijn dalam Seri Lanang Jaya et.al (2016), Hamzah Fansuri mempunyai kekuatan luar biasa sebagai pengarang Islam. Kenyataan ini disokong oleh pendapat R.O Winstedt (1923) yang menyatakan bahawa Hamzah Fansuri merupakan orang pertama yang menulis ilmu tasawuf dalam bentuk sastera. Hamzah Fansuri bukan sahaja seorang ulama tasawuf dan sasterawan terkemuka tetapi juga seorang perintis dan pelopor kepada pembaharuan. Sumbangan beliau sangat besar terhadap perkembangan kebudayaan Islam di Nusantara, khususnya dalam bidang kerohanian, keilmuan, falsafah, bahasa, dan sastera.


Karya-karya Hamzah Fansuri adalah seperti berikut:
Asrar al-Arifin (Rahsia Orang yang Bijaksana)
Sharab al-Asyikin (Minuman Segala Orang yang Berahi)
Zinat al-Muwahidin (Perhiasan Sekalian Orang yang Mengesakan).
Syair Si Burung Pingai
Syair Si Burung Pungguk
Syair Sidang Fakir
Syair Dagang
Syair Perahu


3.0       Kesimpulan
Secara umumnya kedua-dua tokoh sastera ini telah memberikan satu gambaran terhadap kehidupan bangsa Melayu khususnya. Sumbangan kedua-dua tokoh ini telah memberikan impak yang kuat terhadap bidang sastera Melayu. Hal seumpama ini sangatlah wajar diberikan pengiktirafan yang tinggi dan diletakkan di tempat yang istemewa. Karya-karya sastera yang dihasilkan oleh kedua-dua tokoh ini sangatlah memberikan haluan dan status kepada dunia penulisan dan dunia sastera. Walaupun kedua-dua tokoh ini mempunyai perbezaan dari segi falsafah, namun kedua-duanya masih mempunyai keunikan yang tersendiri.
Karya agung telah membawa sesuatu masyarakat tersebut kepada pembinaan tamadun yang lebih baik. Oleh sebab itu, nilai dan falsafah karya-karya agung sastera klasik sangat penting diterapkan dalam setiap masyarakat bagi membentuk komuniti yang mempunyai tamadun unggul. Hal ini kerana seseorang perlu hidup berlandaskan nilai norma masyarakat agar tidak menyimpang daripada landasan hidup.



Bibliografi
A. Hasjmy, (1976). Rubai Hamzah Fansuri. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Mohd Rashid Md Idris, Abd. Rahman Napiah dan Seri Lanang Jaya (2014). Karya Agung Melayu. Tanjong Malim: Universiti Pendidikan Sultan Idris.
Sahlan Mohd Saman (1994). Pengarang dan Kepengarangan Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Seri Lanang Jaya, Abd. Rahman Napiah dan Mohd Rashid Md Idris, (2016). Karya Agung Melayu. Tanjong Malim: Universiti Pendidikan Sultan Idris.